KUALA TERENGGANU: Seramai 1,438 mangsa banjir masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini.
Setakat jam 8 pagi ini, semua mangsa daripada 385 keluarga itu membabitkan mereka yang tinggal di daerah Kuala Terengganu, Besut, Marang dan Kuala Nerus.
Jumlah itu menunjukkan sedikit pengurangan berbanding malam tadi yang merekodkan 1,510 mangsa daripada 400 keluarga.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa teramai apabila 1,090 mangsa masih ditempatkan di empat PPS.
Ia diikuti Besut yang masih membuka lima PPS bagi menempatkan 183 mangsa membabitkan 51 keluarga.
Di Kuala Terengganu, seramai 89 mangsa daripada 21 keluarga masih berlindung di dua PPS sementara satu PPS masih aktif di Marang dengan76 mangsa masih terjejas.
Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa terjejas.
Ia membabitkan semua lapan daerah di Terengganu sebelum empat daripadanya iaitu Kemaman, Hulu Terengganu ,Dungun dan Setiu pulih daripada bencana berkenaan selepas semua PPS di daerah ditutup secara berperingkat.
Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu yang pulih daripada bencana kelmarin diikuti Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu semalam.