Kuala Lumpur: Bekalan air bagi kawasan yang terjejas oleh henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi disebabkan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 petang ini.
Bagi kawasan yang terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih pula dijangka mencapai pemulihan sepenuhnya pada jam 6 pagi esok.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini berkata, status pemulihan bekalan air di 472 kawasan di lima wilayah pengurusannya yang terjejas sudah mencapai 55 peratus setakat jam 6 pagi tadi.
Kawasan terjejas merangkumi 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).
Petaling mencapai pemulihan 54 peratus, manakala Hulu Langat (83 peratus), Sepang (51 peratus), Kuala Langat (93 peratus) dan Putrajaya (sifar peratus).
Ia berikutan henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan LRA yang disebabkan oleh insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian," menurut kenyataan itu.
Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.