GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat penerbangan ihsan menghantar 21 tan makanan kepada 1,400 keluarga Orang Asli di pedalaman daerah ini yang terputus hubungan berikutan laluan keluar masuk rosak akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu.
Operasi bermula hari ini membabitkan sebuah helikopter jenis Mi-17-IV dijangka berterusan selama lima hari ke enam Pos Orang Asli, antaranya Pos Gob, Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Balar.
Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba, Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Mohd Azuna Mohamed Sabri, berkata penerbangan terbabit disertai oleh sembilan kru yang sebelum ini turut terlibat dalam misi bantuan banjir di Wakaf Tapai, Terengganu, sejak seminggu lalu.
"Misi diteruskan di daerah ini menghantar sebanyak 21 tan makanan ke perkampungan Orang Asli yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk sampai ke semua enam Pos Orang Asli di sini.
"Mengikut perancangan awal, misi ini bermula sepatutnya bermula semalam, namun terpaksa ditunda kerana cuaca tidak mengizinkan," katanya ketika ditemui Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, berkata misi menghantar bantuan makanan itu membabitkan enam Pos Orang Asli yang kini terputus hubungan kerana jalan rosak akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu.
"Alhamdulillah kami mendapat kerjasama dan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman yang membabitkan 1400 keluarga.
"Kita sedia maklum pada musim tengkujuh, mereka tidak dapat keluar membeli barangan makanan dan terpaksa bergantung kepada makanan asas seperti ubi kayu dan sayuran. Hari ini misi bermula di perkampungan paling jauh, Pos Gob dan Pos Gawin yang masing-masing ada 144 dan 43 keluarga," katanya.
Beliau berkata, sekiranya cuaca baik, misi akan diteruskan ke Pos Simpor dan Kampung Jader yang membabitkan 232 keluarga Orang Asli.
"Saya difahamkan misi ini akan berjalan selama lima hari, semoga usaha ini dipermudahkan untuk membantu masyarakat Orang Asli di pedalam yang kini terjejas akibat musim tengkujuh. Diharap bantuan makanan ini dapat menampung keperluan dan seterusnya mengurangkan beban mereka," katanya.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan, memaklumkan penghantaran bakul makanan menggunakan helikopter itu bermula hari ini hingga 30 Disember, melibatkan Pos Bihai dengan 304 ketua isi rumah, Pos Balar (223), Pos Simpor (210), Pos Gob (187) dan Pos Belatim (185).
Menurut JAKOA, keperluan penghantaran bakul makanan sememangnya dalam perancangan, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan lebih awal disebabkan penugasan helikopter JBPM di kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.
Kenyataan itu memaklumkan, penghantaran melalui kenderaan darat pula tidak dapat dilaksanakan disebabkan keadaan jalan yang teruk serta terdapat runtuhan tanah di antara Pos Balar dan Pos Belatim, berhampiran Kampung Dakoh.
"Sehubungan itu, JAKOA telah berbincang dan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembaikan cerun.
"Bagaimanapun, kerja-kerja di lapangan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan keadaan jalan dan cuaca masih buruk menyukarkan jentera berat untuk sampai ke lokasi kejadian," menurut JAKOA.