BATANG KALI: Mayat mangsa ke-31 dan terakhir di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini, ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).
"Ketika anggota SAR membuat kerja pengorekan secara manual di situ, seorang Penguasa Kanan Bomba menjumpai satu 'sleeping bag' (beg tidur) dan melihat ada cecair keluar dari 'sleeping bag' berkenaan.
"Apabila diperiksa, kita jumpa mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang kita syaki ia adalah mangsa yang dilaporkan masih hilang itu. 'Sleeping bag' berkenaan ditemui di bawah timbunan tanah sedalam 1.5 meter," katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.
Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.
Wan Md Razali berkata, secara keseluruhan sebanyak 20 mayat mangsa ditemui di Sektor A (Hill View), satu mayat di Sektor B (Farm View) dan 10 mayat ditemui di Sektor C (River Side).
Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.
Terdahulu, pencarian operasi SAR kanak-kanak itu digerakkan untuk hari kesembilan, membabitkan 80 anggota pelbagai agensi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, dilaporkan berkata operasi SAR itu ditumpukan di antara Sektor A, yang dijangkakan sebagai lokasi terakhir mangsa berada.
"Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) membuat pengesanan di sektor terbabit sebelum pasukan SAR memulakan operasi pencarian mangsa," katanya.
Kesemua 31 mangsa yang tertimbus dalam tragedi #TanahRuntuhBatangKali ditemukan.
Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak. pic.twitter.com/yF4AHYd31s— Berita Harian (@bharianmy) December 24, 2022
Berita berkaitan: