KUALA LUMPUR: Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, sebaliknya peranan sama perlu dimainkan oleh rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memainkan peranan ampuh yang berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan dan semangat bersatu padu.
"Mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbezaan perlu dibenam dengan sikap kasih sayang serta rahmah.
"Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajipan setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan perayaan Krismas 2022, yang disambut esok menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar kepada penganut Kristian dan diraikan bersama keluarga serta sahabat setiap tahun.
"Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia, yang terbilang dan rakyatnya yang mencintakan keadilan.
"Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk berwaspada dan berhati-hati di jalan raya," katanya.