Sabtu, 24 Disember 2022 | 3:03pm

Dana RM50j selenggara sekolah terjejas banjir

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata peruntukan itu akan digunakan sebaik pihaknya menerima laporan kerosakan dialami daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya, JPN dan PPD sudah diarah memantau sekolah yang terkesan dengan banjir bagi membolehkan bantuan disegerakan.

"Banyak sekolah terjejas khususnya di Terengganu dan Kelantan.

"Kita sudah mengarahkan JPN dan PPD memantau sekolah yang terkesan dengan banjir supaya kita boleh segerakan bantuan penyelenggaraan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, meluangkan masa lebih tiga jam mendengar permasalahan rakyat di kawasan membabitkan pelbagai isu.

Secara keseluruhan, sebanyak 287 sekolah di seluruh negara dilapor terkesan dengan banjir dan daripada jumlah itu, 205 sekolah sudah pulih.

Fadhlina berkata, sesi persekolahan bulan depan bagi negeri yang terbabit banjir mungkin ditangguh jika bencana berlarutan, namun ia akan diputuskan dalam perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Bagi negeri yang tidak terbabit, sesi persekolahan bermula seperti biasa tetapi negeri yang mana banjir berlarutan dan tidak menunjukkan tanda penurunan, kita akan bincang dengan NADMA.

"Kita ikut nasihat NADMA jika ada pelan alternatif atau bergantung kepada keadaan semasa (pembukaan sekolah negeri terjejas banjir).

"KPM sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan NADMA berhubung sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selain bilik gerakan bencana KPM yang memantau bilangan pertambahan PPS," katanya.

Setakat ini, sebanyak 322 sekolah dijadikan PPS di seluruh negara yang mana 173 PPS sudah ditutup manakala 149 PPS masih dibuka.

Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat sempena Hari Bersama Rakyat Nibong Tebal di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal. - NSTP/DANIAL SAAD
Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat sempena Hari Bersama Rakyat Nibong Tebal di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal. - NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X