Sabtu, 24 Disember 2022 | 8:21am

Kementerian Pertahanan jayakan Op Murni selamat mangsa banjir

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertahanan meneruskan tradisi menggerakkan anggota dan asetnya bagi menjayakan Operasi Murni (Op Murni) dalam membantu serta menyelamatkan mangsa banjir, khususnya di Terengganu yang dilanda banjir luar jangka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyertai Op Murni di Terengganu dan turun padang, menyantuni 761 mangsa banjir daripada 213 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Manir di sini, semalam.

Mohamad menyantuni Muhammad Zuki Ismail yang menjadi mangsa banjir. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Mohamad menyantuni Muhammad Zuki Ismail yang menjadi mangsa banjir. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Mohamad yang meluangkan masa lebih satu jam di PPS berkenaan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terjejas.

PPS di SK Banggol Peradong, Manir mula dibuka pada 19 Disember lalu dan boleh menempatkan seramai 1,000 mangsa dalam satu-satu masa.

Mohamad pada sidang media berkata, pihaknya sedia menambah kekuatan aset dan anggotanya ke Pantai Timur terutama Terengganu sekiranya keadaan banjir semakin teruk bagi melancarkan misi membantu serta menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau berkata, ia berdasarkan situasi banjir yang masih melanda negeri di Pantai Timur, selain kekerapan bencana yang berlaku setiap tahun.

Anggota ATM memindahkan mangsa banjir dengan menggunakan bot dari Kampung Lentang ke PPS Balai Raya Kampung Lentang, Dungun. - Foto ATM
Anggota ATM memindahkan mangsa banjir dengan menggunakan bot dari Kampung Lentang ke PPS Balai Raya Kampung Lentang, Dungun. - Foto ATM

Katanya, penambahan itu berupaya membantu pihaknya mengatur pergerakan logistik, sama ada untuk proses pemindahan mangsa atau penghantaran bekalan makanan dengan lebih cepat.

"Ia boleh diberikan pertimbangan kerana negeri Pantai Timur memang banjir setiap tahun. Jadi kekuatan anggota dan juga aset kita, kalau perlu ditambah kita boleh tambah.

"Seperti dari Pahang, digerakkan kekuatan aset dan anggota dari 4 Briged. Di Pahang, Alhamdulillah, banjir tidak begitu teruk walaupun ada juga kawasan terjejas, jadi aset yang ada di 4 Briged Pahang, dibawa ke sini (Terengganu) untuk membantu.

"Ini kerana keperluan lagi mendesak di Terengganu untuk digunapakai dalam memudahkan usaha kita menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan masing-masing," katanya.

Selain itu, Mohamad turut melawat Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) 18 RAMD Kem Sri Pantai bagi meninjau keadaan semasa banjir dan melihat sendiri pengoperasian serta kesiapsiagaan warga serta aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu melaksanakan tugas sekunder ATM dalam menjalankan Op Murni ATM.

Pada hari sama, Mohamad juga melawat dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman.

Aset tentera sangat membantu 

Mengenai operasi ATM dalam membantu mangsa banjir bagi misi mengagihkan makanan dan barangan keperluan ke PPS dan kawasan yang terputus hubungan jalan darat, katanya jentera atau aset ATM seperti bot tempur dan trak tujuh tan sangat membantu.

Katanya, dalam operasi bencana banjir, aset seumpama itu berupaya untuk mengakses kawasan bencana dengan lebih mendalam. Ini berikutan, trak tujuh tan boleh melalui kawasan yang ditenggelami lebih satu meter dengan mudah, manakala bot tempur boleh memasuki ke kawasan terjejas.

"Setakat ini, secara kesuluruhannya jumlah anggota dan aset ATM yang telah diatur gerak di seluruh negara adalah seramai 28 pegawai dan 539 anggota.

Anggota ATM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampungg Gong Keding ke PPS SK Wakaf Raja. - Foto ATM
Anggota ATM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampungg Gong Keding ke PPS SK Wakaf Raja. - Foto ATM

"Sebanyak 98 aset turut dimobilisasikan merangkumi 11 trak tujuh tan, 38 trak tiga tan, lima trak satu tan, 22 bot dan 22 OBM bot," katanya.

Beliau berkata, di Terengganu, 13 pegawai dan 308 anggota digerakkan bersama 20 trak dan tujuh bot tempur, enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan dan perhubungan komunikasi.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan 350 anggota sudah diatur gerak bersama 21 trak dan sembilan bot tempur dan enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan lain.

"Pihak ATM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain bagi memastikan koordinasi operasi dan bantuan berjalan lancar," katanya.

Menurut Mohamad lagi, Op Murni ATM diaktifkan semula berkuat kuasa 7 Oktober lalu di mana semua Appointed Military Commanders (AMC) boleh mengaturgerakkan pasukan bagi membantu mangsa banjir tanpa perlu menunggu arahan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Katanya, ATM akan terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di negeri dan kawasan yang terjejas merangkumi tiga fasa utama atur gerak Op Murni iaitu Pra-Aturgerak Banjir (Sebelum), Semasa Banjir dan Pasca Banjir (selepas).

"Demi menjamin kesejahteraan masyarakat dan rakyat, ATM akan tetap bersama serta sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti dan perancangan khusus operasi pasca banjir di negeri terbabit juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Mohamad menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Mohamad menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X