PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan akan menyelesaikan isu penghijrahan pegawai perubatan ke luar negara menerusi pelbagai perkongsian yang dikemuka dan diterima pelbagai pihak berkepentingan menerusi pelan Strategi Sumber Manusia Untuk Kesihatan (HRH).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kementerian menyedari isu berkenaan yang berlarutan lama dan HRH yang dimulakan oleh menteri kesihatan sebelumnya mencadangkan penyelesaian dalam pelbagai domain pengambilan doktor, meningkatkan kualiti latihan mereka dengan laluan kerjaya lebih jelas.
Selain itu, katanya HRH juga menumpukan kepada peingkatan kebajikan dan situasi kerja pegawai perubatan serta pengagihan yang lebih adil di seluruh negara.
"Kertas Putih Kesihatan, yang sedang dalam proses pembangunan, akan meneliti penubuhan Suruhanjaya Kesihatan yang akan bertanggungjawab untuk beberapa isu termasuk pembangunan perkhidmatan penjagaan kesihatan," katanya dalam kenyataan kepada BH hari ini.
Beliau berkata, HRH antara lain akan merangkumi pembangunan profesional, bertujuan menangani beberapa isu seperti doktor kontrak, pembangunan sumber manusia dan kemajuan kerjaya jangka panjang.
"Saya mengalu-alukan maklum balas mengenai perkara itu kerana kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki keadaan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata kementerian menyedari isu penghijrahan pakar (brain drain) sudah lama berlaku dalam sektor penjagaan kesihatan.
Malah, hampir setiap sektor pekerjaan mahir di Malaysia juga menghadapi isu berkenaan yang mana ia diakui kerugian kepada negara.
Katanya, situasi itu satu kerugian kepada negara, ketika Malaysia memerlukan bakat kemahiran mereka untuk memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
Beliau mengulas pendedahan oleh bekas Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mendakwa Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari Universiti Malaya (UM) setiap tahun yang memilih untuk berkhidmat di luar negara, terutama Singapura sebaik menamatkan pengajian.
Adeeba menyifatkan tindakan itu dilihat satu 'kerugian' besar kepada institusi pendidikan tempatan kerana kos melatih setiap pelajar perubatan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
Sebelum ini, KKM pada Februari lalu mengumumkan 4,186 pekerja penjagaan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam kementerian itu.
Jumlah ini termasuk 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.
Pada Jun, lebih 8,000 pegawai perubatan ditemuduga selepas pegawai kontrak menggesa untuk jawatan tetap.
Walaupun KKM tidak memberikan angka yang tepat, dianggarkan ada kira-kira 30,000 pegawai kontrak sedang berkhidmat.