KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bantuan khas kepada KIR yang berdaftar sebagai mangsa banjir disalurkan bagi meringankan bebanan mereka.
Kerajaan negeri juga bersetuju menyalurkan RM10,000 kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia disebabkan banjir.
"Bantuan lain termasuk membaiki kerosakan kediaman, membina rumah rosak dan lain-lain kerosakan infrastruktur akan dilaksanakan kerajaan selepas mendapat maklumat penuh dan penilaian kemusnahan," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook (FB) hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang menjadi mangsa kritikan netizen selepas ketiadaannya di lokasi banjir sejak Ahad lalu melawat dan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Chukai, Kemaman.
Turut mengiringi Ahmad Samsuri adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Bagaimanapun, media arus perdana tidak dimaklumkan termasuk daripada Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan Pejabat Menteri Besar mengenai lawatan Ahmad Samsuri.
Selepas menyantuni mangsa banjir, Ahmad Samsuri ke bilik gerakan bencana di pejabat Daerah Kemaman untuk mendengar taklimat pengurusan banjir disampaikan Pengerusi Bencana Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Difahamkan, Ahmad Samsuri ke New Zealand untuk menziarahi anaknya, Nabilah yang menerima ijazah sarjana di sebuah universiti di Auckland.
Bagaimanapun, berdasarkan catatan pada FB, Ahmad Samsuri hanya sempat mengucapkan tahniah kepada Nabilah dan memohon maaf kerana tidak sempat hadir majlis konvokesyen berkenaan.
Dalam pada itu, dalam kiriman FB itu juga menunjukkan Ahmad Samsuri sempat melawat dan membantu mangsa banjir sebelum berangkat ke New Zealand, Sabtu lalu.