TUMPAT: Penduduk tiga kampung di sekitar daerah ini terpaksa menggunakan sampan untuk ke Masjid Ittihadi di Mukim Kubang Sawa, di sini, bagi menunaikan solat Jumaat hari ini.
Ia berikutan kedudukan masjid itu yang bertukar seakan-akan 'pulau' apabila sawah padi yang mengelilinginya digenangi banjir.
Tiga kampung terbabit ialah Kuala Jambu, Naga Ibu dan Kubang Sawa dengan rata-rata penduduk dilihat berkongsi perahu dan bot untuk masjid berkenaan.
Berdasarkan pemerhatian, jemaah dilihat tiba dengan perahu dan bot seawal jam 12.30 tengah hari tadi merentasi kawasan sawah padi yang digenangi banjir, sebelum meletakkannya berderetan di kawasan tebing bersebelahan masjid.
Seorang jemaah, Mohd Islam Abdullah, 46, berkata situasi sebegitu memang setiap tahun dialami menjelang musim banjir dan walaupun air melebihi paras dua meter tinggi, solat Jumaat tetap dihadiri.
Penduduk di tiga kampung di Mukim Kubang Sawa, Tumpat menggunakan sampan dan bot untuk ke Masjid Ittihadi bagi menunaikan solat Jumaat selepas kawasan itu dinaiki banjir. - NSTP/ VIDEO SITI ROHANA IDRIS pic.twitter.com/ot4RyYd538
— Berita Harian (@bharianmy) December 23, 2022
"Masjid ini dibina di kawasan tinggi dan setiap kali banjir, hanya kawasan ini yang selamat. Apabila solat Jumaat, memang akan berpusu-pusu jemaah datang menaiki bot.
"Rumah saya hanya satu kilometer dari masjid dan memandangkan saya memiliki bot sendiri, tiada masalah untuk datang menunaikan solat Jumaat," katanya.
Situasi sama dialami Amin Baharom, 44, yang meredah air sedalam 1.5 meter menggunakan perahu dari rumahnya untuk ke masjid.
Katanya, walaupun paras air sedikit menurun, ia seakan tiada beza kerana kawasan kampung masih lagi seperti lautan.
"Tiada masalah untuk kami hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, cuma bilangan jemaah hari ini agak berkurangan. Mungkin kerana ada yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau terkepung serta tiada bot," katanya.
Lokasi masjid yang terletak di tengah sawah padi menyebabkan rumah ibadah itu seperti pulau yang dikelilingi lautan dengan kelihatan banyak perahu atau bot mundar mandir di sekelilingnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat turut hadir meninjau beberapa kampung di sini selain mengambil solat Jumaat di masjid berkenaan.
Sementara itu, Imam Masjid Ittihadi, Muhamad Saidi Yunus, berkata kapasiti masjid itu mampu memuatkan 200 orang pada satu-satu masa, namun untuk solat Jumaat hari ini hanya 60 jemaah dari tiga kampung hadir.
"Memang begini situasinya ketika musim tengkujuh dan masjid ini akan menjadi seperti pulau dikelilingi lautan, manakala perkarangannya dipenuhi kenderaan penduduk kampung yang diparkir disebabkan kawasan kampung terjejas banjir," katanya.