Jumaat, 23 Disember 2022 | 3:00pm
Nie Ching (dua dari kiri) diberi taklimat di PKOB APM Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. -NSTP/FARID NOH
Nie Ching (dua dari kiri) diberi taklimat di PKOB APM Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. -NSTP/FARID NOH

Tuduhan PM, menteri tak boleh terima kritikan tidak benar - Nei Ching

JOHOR BAHRU: Kerajaan menafikan persepsi yang timbul kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan menterinya tidak boleh menerima kritikan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata persepsi itu bukan sahaja tidak benar, malah tidak berlaku.

Nie Ching turut menafikan dakwaan kononnya sesiapa yang bertindak mengkritik Perdana Menteri serta barisan menteri, akan menerima tindakan tegas termasuk akaun media sosial mereka disekat selain diheret ke mahkamah.

"Saya tak tahu mengapa anggapan seperti ini (kerajaan tidak boleh dikritik) wujud, kerana ia memang tak betul.

"Seperti Perdana Menteri nyatakan sebelum ini, beliau alu-alukan kritikan konstruktif. Beliau tidak pernah cakap tidak boleh kutuk dirinya, menteri atau timbalan menteri.

"Apa yang kita nak tegaskan di sini adalah bahawa kerajaan tak mahu sebarang ucapan kebencian kerana nak jaga sentimen keharmonian masyarakat.

"Kerajaan tak mahu apa-apa kenyataan yang melanggar undang-undang khasnya babitkan 3R - 'Race' (Kaum), 'Religion' (Agama) & 'Royalty(Raja-Raja). Itu juga adalah pesanan Perdana Menteri supaya tiada pihak mainkan isu 3R," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Kamal Mokhtar.

Sebelum ini, pengguna media sosial mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri menggunakan strategi menyaman pemimpin lawan hanya semata-mata kerana tidak boleh menerima kritikan.

Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, Anwar dilaporkan menyaman tiga individu dan semuanya adalah pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Antaranya tindakan perundangan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa membuat tuduhan palsu di dalam video kononnya beliau ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor telah membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.

Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria, pula disaman berhubung ucapannya yang mengaitkan Anwar dengan dakwaan membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Selain itu, Anwar turut memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hasim juga atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Mengulas tindakan mahkamah diambil Perdana Menteri, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, ia adalah pilihan dan hak Anwar sebagai rakyat negara ini.

"Saya percaya kalau seseorang ahli politik termasuk perdana menteri, menteri atau timbalan menteri merasakan mereka difitnah, mereka berhak bawa kes ke mahkamah. Itu adalah pilihan mereka sebagai rakyat.

Berita Harian X