Jumaat, 23 Disember 2022 | 12:37pm
Kenderaan membawa mayat empat mangsa tanah runtuh yang ditemukan dalam satu khemah dalam tragedi di Batang Kali, sejurus selesai proses bedah siasat dan pengecaman di Hospital Sungai Buloh. - NSTP/ NOOR ATIQAH SULAIMAN
Kenderaan membawa mayat empat mangsa tanah runtuh yang ditemukan dalam satu khemah dalam tragedi di Batang Kali, sejurus selesai proses bedah siasat dan pengecaman di Hospital Sungai Buloh. - NSTP/ NOOR ATIQAH SULAIMAN

Bedah siasat 4 mayat bergulung dalam khemah selesai

SUNGAI BULOH: Empat mayat mangsa tanah runtuh yang ditemui dalam satu khemah di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, dekat sini, semalam selesai menjalani proses bedah siasat dan pengecaman oleh keluarga hari ini.

Pengesanan identiti empat mayat sekeluarga membabitkan dua kanak-kanak dan dua dewasa termasuk seorang wanita itu dilakukan melalui proses analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa serta waris dengan mengambil sampel darah atau air liur.

Semua mayat berkenaan kemudian dibawa keluar dari Unit Forensik Sungai Buloh menggunakan kenderaan berasingan jam 11.20 pagi tadi dan difahamkan terus dibawa ke Melaka untuk disemadikan.

Semalam, pihak polis mengesahkan empat mayat ditemukan dalam keadaan bergulung dengan kain khemah pada kedalaman kira-kira tujuh meter itu terdiri daripada satu keluarga.

Mayat membabitkan mangsa ke-27 hingga ke-30 itu ditemukan jam 11.04 pagi di Sektor C (Riverside) pada kedalaman tujuh meter.

Pihak polis memaklumkan, mayat berkenaan ditemui lengkap berpakaian namun keadaannya sudah mula mereput.

Sehingga kini, hanya seorang mangsa membabitkan kanak-kanak lelaki belum ditemui selepas Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan jumlah mangsa terbabit dalam kejadian jam 2.42 pagi Jumaat lalu itu 92 orang dan bukannya 94 seperti dilaporkan sebelum ini.

Arjunaidi berkata, ia berikutan terdapat pertindihan nama dalam buku pendaftaran perkhemahan berkenaan sebelum ini.

Dalam tragedi awal pagi Jumaat lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu dengan sehingga kini 30 mangsa disahkan maut dan satu lagi masih dikesan.

Berita Harian X