Khamis, 22 Disember 2022 | 11:34pm
Kenderaan mengharungi banjir berhampiran Sungai Paka yang mulai surut di Jalan utama Dungun-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Nyior, Paka malam ini. - Foto BERNAMA
Kenderaan mengharungi banjir berhampiran Sungai Paka yang mulai surut di Jalan utama Dungun-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Nyior, Paka malam ini. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di PPS Terengganu berkurangan

KUALA TERENGGANU: Walaupun hujan berterusan, bilangan mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan dengan 27,021 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, mangsa daripada 7,147 keluarga berada di 184 PPS sehingga jam 10 malam ini.

Daerah Kemaman yang mencatatkan jumlah tertinggi sebelum ini terus menunjukkan penurunan kepada 5,995 mangsa membabitkan 1,527 mangsa di 17 PPS.

Jumlah mangsa di daerah Dungun ialah 5,391 orang daripada 1,424 keluarga yang ditempatkan di 32 PPS.

Besut yang sebelum ini menjadi daerah paling teruk dilanda bencana juga bertambah pulih dengan kebanyakan mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Setakat malam ini, hanya 4,331 mangsa daripada 1,073 keluarga masih berada di 49 PPS di daerah itu.

Ini diikuti Hulu Terengganu dengan 3,852 mangsa membabitkan 1,224 keluarga berada di 34 PPS.

Di Kuala Nerus, seramai 3,570 mangsa membabitkan 913 keluarga ditempatkan di 17 PPS manakala di Kuala Terengganu, seramai 2,523 mangsa daripada 664 keluarga berada di 13 PPS.

Hanya tiga PPS masih dibuka di Marang bagi menempatkan 187 mangsa daripada 32 keluarga yang terjejas dengan banjir di daerah itu.

Berita Harian X