SHAH ALAM: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Muhammad Amirul Abdullah, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh diarah menjalani hukuman penjara berkenaan dari tarikh ditangkap iaitu 14 Oktober lalu.
Lelaki itu yang juga bapa kepada dua anak, didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah flat di Puchong Permai pada jam 9.30 malam, 29 Julai tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Muhammad Amirul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dikenakan terhadapnya atas alasan sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Tertuduh turut menyatakan dirinya adalah penanggung tunggal keluarga selepas bapanya meninggal dunia Ogos lalu dan kini menjaga ibu yang uzur, isteri dan dua anak yang masih kecil serta tiga adik yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan perbuatan rogol dipandang jijik dan hina oleh masyarakat.
"Lagi hina ia dilakukan terhadap mangsa iaitu kanak-kanak perempuan yang masih kecil, naif dan lemah.
"Mahkamah dipohon mengambil kira hasrat kerajaan melindungi kanak-kanak terutama daripada jenayah seksual. Ini hanya dapat dizahirkan mahkamah menerusi hukuman berat dan pemenjaraan yang panjang supaya tertuduh insaf," katanya.