PASIR MAS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan kakitangan dari daerah lain ke fasiliti kesihatan yang terjejas banjir bagi menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja sepanjang bah.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata di Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menerima bantuan melalui mobilisasi petugas kesihatan seramai lebih 100 petugas membabitkan kakitangan dari dalam dan luar Kelantan.
Katanya, terdapat pegawai kesihatan dan jururawat daripada negeri Kedah dan Selangor yang dibawa ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir terutama mereka yang menghidap penyakit kronik.
"Selain itu KKM juga berterima kasih kepada 13 pasukan badan bukan kerajaan (NGO) perubatan yang turut sama turun padang terutama di daerah terjejas banjir di Pasir Mas yang membantu melancarkan perkhidmatan.
"Pihak kami mengalu-alukan NGO untuk membantu dengan mendaftar melalui KKM terlebih dahulu sebelum diatur gerak ke kawasan terjejas banjir.
"Semoga inisiatif ini dapat membantu kakitangan kesihatan di kawasan dilanda banjir selain memberi perkhidmatan terbaik walaupun dalam situasi getir," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat keadaan semasa banjir di daerah Pasir Mas di Pejabat Kesihatan Daerah, di sini, hari ini.
Hadir Sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib dan Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin.
Dalam perkembangan sama, Dr Zaliha berkata sebanyak 20 pasukan kesihatan mental dan sokongam psikososial (MHPSS) digerakkan untuk perkhidmatan sokongan emosi dan bantuan awal psikologi (PFA) kepada mangsa banjir.
"Anggota kesihatan juga berkemungkinan terkesan daripada segi emosi akibat bencana ini dan mereka juga sedang dikenal pasti agar bantuan awal psikologi dapat diberi mengikut keperluan.
"Saya turut mencadangkan kepada KKM untuk menyediakan pasukan paramedik buat anggota penyelamat dan keselamatan agar mereka dapat lakukan pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan keadan kesihatan dalam tahap memuaskan untuk bertugas," katanya.