KUALA LUMPUR: Enam mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 11.55 pagi, hari ini.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan berkata, enam individu itu dihantar menerusi penerbangan Thai Airways TG415 dan sebaik tiba di tanah air, mereka diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Sehingga 20 Disember ini, KLN menerima 488 laporan membabitkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan ini di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
"Daripada bilangan itu, seramai 359 orang berjaya diselamatkan, dengan 331 orang dibawa pulang ke Malaysia dan 28 orang masih berada dalam depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara-negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang.
"Statistik mangsa sindiket yang berjaya diselamatkan setakat ini ialah 227 orang di Kemboja, 61 orang di Laos, 38 orang di Thailand dan 33 orang di Myanmar.
"Bagaimanapun usaha akan diteruskan bagi menjejaki 129 orang lagi mangsa yang masih belum dapat dikesan membabitkan Kemboja (1 kes), Thailand (8 kes), Laos (29 kes) dan Myanmar (91 kes)," katanya.
Dalam masa yang sama, kementerian turut mengharapkan bantuan dan kerjasama orang ramai untuk sentiasa cakna dengan isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan diluar negara dengan melaporkan kepada pihak PDRM dan KLN.
"Keluarga mangsa boleh melaporkan dan menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada KLN melalui e-mel di [email protected] kerana ini adalah isu serius membabitkan keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia di luar negara dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani isu ini.
"Sementara itu, kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan pantas dan proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa hasil kerjasama erat KLN dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta pihak berkuasa Thailand.
"Selain itu, KLN juga merakamkan penghargaan buat Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang yang turut menghulurkan bantuan dalam membantu urusan bagi membawa pulang mangsa," katanya.