KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan mandat besar yang diterima di Parlimen, kerajaan akan menumpukan perhatian sepenuhnya bagi menjamin tatakelola dan tadbir urus yang berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara.
Perdana Menteri berkata, dengan mandat melalui undian dua pertiga di Parlimen, kerajaan kini menumpukan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
"Apa yang berlaku di Parlimen dua hari lalu kita bincangkan sepintas lalu.
"Mandat itu jelas dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana usul beliau itu diterima baik hampir sebulat suara, jika ada pengundian, undi dua pertiga itu pasti terjamin.
"Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua parti Kerajaan Perpaduan dan kebetulan dalam kes ini tiada yang membantah daripada parti pembangkang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Pada Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul undi percaya kepada keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri melalui undi suara majoriti.
Usul percaya itu dibentangkan Fadillah dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari Pakatan Harapan (PH), yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang.
Ia merangkumi 82 Ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN-30), Gabungan Parti Sarawak (GPS-23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-6), WARISAN (3), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM -1), Parti Bangsa Malaysia (PBM -1) dan Bebas (2).
Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang juga blok pembangkang.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, akan menyelaras cara jentera kerajaan mempercepatkan urusan permohonan perniagaan supaya lebih cepat, pantas dan efisien.
Katanya, ini berikutan sudah ada petunjuk positif dalam kalangan pengusaha dan pelabur luar yang berminat melabur di negara ini.
"Kita harus menunjukkan cara dan urusan yang lebih berkesan serta pesat berbanding daripada sebelumnya," katanya.