KUALA LUMPUR: Kelantan dan Terengganu menerima taburan hujan yang tinggi dalam tempoh singkat sejak tiga hari lalu, hingga mengakibatkan kebanyakan daerah dan petempatan terletak di sepanjang sungai di dua negeri berkenaan ditenggelami banjir.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr Md Nasir Md Noh dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kekerapan hujan menyebabkan 65 kejadian banjir dilaporkan dalam tempoh berkenaan, membabitkan 44 kejadian Kelantan dan 21 di Terengganu.
Bah paling serius di Terengganu, katanya, membabitkan daerah Kemaman dengan lapan tempat, manakala di Kelantan membabitkan daerah Pasir Mas dengan 14 lokasi.
"Di Terengganu, stesen Kalabe, Besut merekodkan taburan hujan tertinggi sebanyak 732 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam yang memberikan kala ulangan purata 146 tahun ARI (Average Recurrence Interval). Dalam tempoh tiga hari, stesen itu merekodkan taburan hujan 1046mm setiap hari," katanya.
Beliau berkata, di stesen Kampung Besut pula, bacaan taburan hujan tertinggi bagi tempoh tiga hari membabitkan daerah Setiu mencecah 923mm, manakala bacaan direkodkan stesen hujan Kampung Kuala Ping di Hulu Terengganu ialah 834mm dan stesen hujan Jambatan Jerteh pula 808mm.
"Rekod ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Terengganu iaitu 663mm," katanya.
Di Kelantan, beliau menjelaskan, cerapan taburan hujan tertinggi dalam tempoh 24 jam di Kampung Wakaf Raja, Pasir Putih merekodkan 625mm dengan kala ulangan purata 83 ARI.
"Dalam tempoh 48 jam, stesen Serdang di Gunong Barat Bachok, Bachok merekodkan purata tinggi yang dicerap iaitu menerima 903mm taburan hujan bersamaan 132 ARI.
"Bacaan hujan bagi tempoh tiga hari maksimum direkodkan di stesen hujan Tok Ajam, Pasir Puteh pada 876mm, stesen hujan Jambatan Melor, Bachok pula pada 864mm dan stesen hujan Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh pada 860mm.
"Rekod hujan ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Kelantan, iaitu 500mm," katanya.
Beliau memaklumkan, kawasan yang terjejas banjir di Terengganu membabitkan lembangan, iaitu Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Kemaman.
Di daerah Besut membabitkan Kampung Darau dan Kampung Bukit Kenak, Dungun (Kampung Jangok Batu, Kampung Minda, Kampung Dendang dan Kampung Rantau Panjang), Hulu Terengganu (Kampung Kuala Ping, Kampung Peneh, Kampung Pengkalan Ajal dan Kampung Lubuk Periuk).
Kemaman (Kampung Batu 9 di Ibok, Kampung Baru Kiri, Kampung Baru Kanan, Rumah Murah Kemasik, Pekan Kemasik dan daerah sekitarnya), manakala di Setiu membabitkan Kampung Besut.
Di Kelantan, lembangan yang terjejas adalah Sungai Jolok, Sungai Semerak dan Sungai Kelantan membabitkan Jeli ( Kampung Legeh, Kampung Ayer Lanas, Sekolah Kebangsaan Legeh dan Kampung Gemang).
Kawasan terjejas di daerah Kota Bharu membabitkan Batu 9 di Kadok, Jalan Perol di Kampung Kukang, Kampung Chabang 3 Pendek dan Jalan Salor-Pasir Mas, manakala Kuala Krai (Kampung Ngangoh, Kampung Keroh, Kampung Kenor, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Kuala Nal).
Machang membabitkan Kampung Pangkal Kerdas, Kampung Rengas dan Jalan Kampung Kenanga ke Kampung Gendang Lima serta beberapa kawasan sekitarnya.
Di Pasir Mas (Kampung Banggol Ara, Bandar Rantau Panjang Lama, Muara Sungai Lemal-Lanchang dan kawasan sekitar), manakala Pasir Puteh (Kampung Batu Hitam di Gaal, Bandar Pasir Puteh Lama, Kampung Saring dan Kampung Nering.
Di Tanah Merah, kawasan yang terjejas ialah Kampung Kelewek, Pasaraya Pantai Timur, Kampung Manal 1, Kampung Air Machang, Kampung Pecah Keling, Kampung Batu 7, Kampung Batu 9, Kampung Kajang serta Kampung Bendang Nyior.