SETIU: Seramai 1,641 mangsa yang ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terpaksa dipindahkan ke lokasi lain selepas PPS yang menempatkan mereka dinaiki air sejak semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata ia membabitkan masing-masing lima di Besut dan Hulu Terengganu, tiga di Setiu dan dua di Kemaman.
Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.
"Kita harap masyarakat atau mangsa dapat bersabar dengan keadaan begini kerana ini satu situasi banjir di luar jangka.
"Sebelum ini, keadaan berada dalam terkawal yang mana semua PPS yang kita letak, boleh digunakan tetapi kali ini berbeza apabila ada antara PPS yang dinaiki air.
"Ia menyebabkan proses pemindahan mangsa mengambil masa selain ada kawasan baharu yang tidak dinaiki air dilanda banjir kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk di sini hari ini.
Rahaimi berkata pasukan penyelamat akan menumpukan bantuan kepada empat daerah di Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir iaitu Hulu Terengganu, Besut, Kemaman dan Setiu.
Beliau berkata, tumpuan juga diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu kepada pemindahan segera.
"Selain proses pemindahan mangsa di sesetengah kawasan yang terjejas, kita turut berdepan masalah kekurangan aset berat.
"Daripada segi kekuatan anggota dan aset, di Terengganu ini ia mencukupi cuma kita memerlukan kenderaan yang besar dan berat seperti lori lima dan tujuh tan.
"Kita ada daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) namun tidak banyak tetapi Alhamdulillah, semalam kita di Terengganu mendapat bantuan 16 lori lima tan daripada pihak pengurusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Timur.
"Kenderaan ini diletakkan di Besut, Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman yang banyak membantu untuk pengangkutan ke PPS atau pengagihan makanan, " katanya.