PUTRAJAYA: Tiada kluster COVID-19 dikesan setakat ini membabitkan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri yang dilanda banjir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes COVID-19 membabitkan mangsa banjir secara umum dalam tempoh 11 hingga semalam, hanya satu kes dikesan, iaitu seorang penduduk di Terengganu yang sudah tamat menjalani isolasi pada 18 Disember.
Bagi tempoh 11 hingga 18 November sebelum itu pula, katanya, sebanyak 14 kes jangkitan dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir, iaitu tujuh di Selangor, Kelantan (5) dan Melaka (2), namun semua sudah tamat menjalani isolasi.
"Mereka yang selesai menjalani isolasi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sejak 7 November lalu, beberapa episod banjir telah melanda kebanyakan negeri sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), yang bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan dari 17 Disember sehingga kini.
Setakat petang semalam, lima negeri terjejas banjir ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor dengan keseluruhan 34, 970 mangsa bencana itu kini ditempatkan di 364 PPS, membabitkan 243 orang di Terengganu, Kelantan (105), Pahang (11), Johor (3) dan Perak (2).
Bagi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sejak bencana itu melanda, beliau berkata, 301 kes dikesan dalam kalangan mangsa banjir di PPS sepanjang 7 November hingga semalam, manakala kes penyakit kulit (260), 'acute gastroentritis (AGE)(14), kes konjuntivitis (11) dan satu kes cacar air.
Bagaimanapun, katanya, tiada kes tifoid, kolera, leptospirosis, denggi serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir setakat ini.
Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya peka dengan arahan semasa pihak berkuasa serta elak mengharungi air banjir jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelak risiko jangkitan penyakit leptospirosis dan meloidosis akibat air banjir yang tercemar.
"Elak makan makanan terdedah kepada air banjir, makanan yang berada pada suhu bilik melebihi empat jam atau makanan yang mempunyai perubahan rasa, bau serta tekstur.
"Minum air yang sudah dimasak dan makan makanan bersih bagi mengelakkan penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, Hepatitis A dan AGE," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengawai risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air, termasuk mengelak penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ia dipastikan selamat.
"Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan persekitaran, jangan buang sampah di merata tempat yang akan mendatangkan risiko penyakit dan pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk serta lain-lain," katanya.
Bagi mereka yang dipindahkan ke PPS, Dr Noor Hisham meminta mereka mengamalkan sikap bertoleransi, saling membantu dan menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan dalam kalangan penghuni.
"Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan berhampiran jika alami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya," katanya.