SEGAMAT: Sebuah pusat pelupusan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran di Taman Yayasan di sini, menawarkan khidmat percuma untuk melupuskan al-Quran yang rosak akibat ditenggelami air dalam bencana banjir.
Petugas yang juga sukarelawan pusat pelupusan al-Quran itu, Jaafar Maskor, berkata aktiviti pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau tempat pembakaran khas.
Beliau berkata, pusat pelupusan atau pembakaran kendalian itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram (kg) bahan bacaan terbabit yang sudah kering hampir seratus-peratus.
"Proses membakar dilakukan secara berkala dan mengambil tempoh 24 jam.
"Kita mengambil tempoh yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci kerana jumlahnya kini ada kalanya meningkat mendadak, terutama pada musim banjir," katanya ditemui selepas memantau proses pelupusan al-Quran.
Jaafar berkata, perkhidmatan membabitkan kos pelupusan yang ditawarkan itu adalah percuma kerana tidak mahu membebankan mangsa banjir.
"Aktiviti pelupusan dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat suci dan ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan syarak.
"Turut membantu mengumpul dan melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang ditenggelami banjir adalah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kariah setempat selain pihak pengurusan masjid dan surau sekitar Segamat," katanya.