Kangar: Kerajaan Perlis menerima peruntukan sejumlah RM60 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Perlis.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan itu yang mana ia akan dapat membantu menangani masalah banjir kilat di beberapa kawasan di Perlis.
"Kepesatan pembangunan boleh menyumbang kepada pengurangan kawasan takungan dan kawasan resapan secara semulajadi yang berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan.
"Oleh hal demikian, sebagai langkah menangani kejadian banjir kilat, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta merangkumi kajian dan projek pembangunan untuk kawasan berisiko banjir di seluruh negeri.
"Menerusi Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Perlis, ia dijangka dimulakan pada tahun hadapan dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dan pelaksanaan projek itu dijangka melengkapkan perancangan tebatan banjir di Perlis sekali gus mengatasi 60 peratus masalah banjir di Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Perlis 2023 sempena di Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.
Katanya, dalam usaha untuk memastikan Empangan Timah Tasoh yang juga adalah kawasan sasaran penting tahap satu diberikan kawalan sewajarnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi kerja membina dan menaik taraf sistem integriti keselamatan empangan.
"Selain itu bagi melengkapkan fungsi empangan dan pengurusan banjir, projek pembinaan stesen hidrologi berskala besar sedang giat dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah projek Ramalan Amaran dan Banjir Negara Fasa 2 dengan kos RM4.2 juta.
"Selain itu juga, bagi menangani ancaman hakisan dan runtuhan tebing sungai yang meningkatkan risiko banjir, sejumlah RM610,000 diperuntukkan bagi pemuliharaan sungai dan RM315,000 sudah diluluskan bagi meningkatkan keindahan dan kelestarian koridor sungai serta tasik.
Mohd Shukri berkata, dalam usaha pihaknya menangani perubahan fizikal dan perubahan pada fenomena air pasang surut, satu tindakan diperlukan untuk menaik taraf struktur bagi mengekalkan keutuhan pantai sedia ada serta mengelakkan kesan air pasang dan ombak yang menghempas pantai.
"Sehubungan dengan itu, pada tahun hadapan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi kerja menaik taraf ban pantai di Kuala Perlis.
"Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM5.64 juta untuk penyelenggaraan sungai dan saliran termasuklah penyelenggaraan di Timah Tasoh dan Lencongan Banjir Barat (LBB).
Terdahulu, Mohd Shukri menjelaskan bahawa pelaksanaan bajet Perlis tahun hadapan, akan memperuntukkan sejumlah RM293.36 juta di mana kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada tiga teras iaitu membabitkan peningkatan ekonomi melalui pelaburan, peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negeri yang mapan.
Daripada jumlah peruntukkan RM293.36 juta itu, sebanyak RM180.41 juta atau 61.5 peratus disediakan mengikut perbelanjaan mengurus dan RM112.95 juta atau 38.5 peratus pula berada di bawah perbelanjaan pembangunan.