KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian renjatan elektrik, yang menyebabkan tiga beradik maut di Kampung Bendang Surau, Kelantan, hari ini.
TNB dalam kenyataannya menyebut, siasatan itu dijalankan dengan kerjasama rapat Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi.
"Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghormati perasaan serta sensitiviti keluarga mangsa," kata kenyataan itu.
Selain itu, TNB menyebut, pihaknya memutuskan sementara bekalan elektrik di kawasan yang ditenggelami banjir atas faktor keselamatan.
TNB turut menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.
"TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan. Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan," katanya.
Sementara itu, TNB meminta orang ramai menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi menyalurkan sebarang laporan mengenai pepasangan TNB yang dalam keadaan membahayakan.