Isnin, 19 Disember 2022 | 4:54pm

TPM bentang usul undi percaya terhadap PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usul itu bertujuan menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Ke-10 (PM10).

Beliau berkata, kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Perpaduan berikrar untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan rakyat berbilang kaum serta mengangkat martabat negara di persada dunia.

"Perdana Menteri menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan. Ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.

"Situasi terbabit tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Usul berkenaan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Perdana Menteri mengambil inisiatif mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan parti politik utama negara termasuk Ahli Parlimen Bebas, sekali gus membolehkan pembentukan Jemaah Menteri yang dilantik pada 3 Disember lalu.

Katanya, Kerajaan Perpaduan kini komited menggalas amanah rakyat, selain kerajaan giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

"Menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

"Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat. Hasil sokongan ini akan menyuntik azam bagi Kerajaan Perpaduan terus komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha reformasi bidang tertentu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, memaklumkan 12 Ahli Parlimen disenaraikan sebagai pembahas bagi usul berkenaan, antaranya Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu); Doris Sophia Brodi (Sri Aman); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa) dan Ahmad Fadhil Shaari (Pasir Mas).

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Datuk Dr Jeffery Kitingan (Keningau); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. - foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. - foto BERNAMA
Berita Harian X