SETIU: Sekurang-kurangnya 29 kampung dengan 3,995 penduduk daerah ini terjejas ketika banjir melanda negeri ini semakin buruk, hari ini.
Jumlah itu direkodkan sejak banjir melanda daerah ini semalam, dengan sehingga jam 12 tengah hari ini kampung yang terjejas termasuk Kampung Seladang, Kampung Besut, Kampung Seri Bayas, Kampung Che Long, Kampung Bahagia dan Kampung Permaisuri.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin, berkata susulan itu juga 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa berkenaan.
Beliau berkata, bencana sama turut menyebabkan lima laluan ditutup membabitkan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Kilometer (KM) 67 hingga KM 68 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Jalan Chalok–Gong Terap, Jalan Guntong-Kampung Saujana dan KM 70 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
"Setakat ini, tiada kejadian tanah runtuh berlaku di Setiu, selain tiada balai yang terjejas akibat bencana banjir," katanya.
Sementara itu, Afandi memaklumkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dengan lebih 100 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
"Pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menghulurkan bantuan apabila kenderaan berat mereka digunakan untuk menghantar bahan makanan mentah ke PPS yang terputus hubungan selepas laluan dinaiki air," katanya.