Isnin, 19 Disember 2022 | 3:20pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tengah) pertahankan kedudukannya pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tengah) pertahankan kedudukannya pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini

Adnan Mat pertahan kerusi Presiden CUEPACS

SHAH ALAM: Datuk Adnan Mat mengekalkan kerusi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada sesi pemilihan sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Ke-29, yang berakhir hari ini.

Beliau menewaskan bekas Timbalan Presiden II CUEPACS, Zulkifli Mohamad, dengan kelebihan 777 undi.

Adnan memperoleh 1,108 undi, manakala Zulkifli 331.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi, Abdul Rashid Abdullah, bagi pemilihan pegawai tertinggi CUEPACS sesi 2022-2025, selepas pengundian diselesaikan lebih 1,700 perwakilan semalam.

Timbalan Presiden I diisi Aminuddin Awang; Timbalan Presiden II, Norhayati Abdul Rashid; Setiausaha Agung, Abdul Rahman Mohd Nordin; Timbalan Setiausaha Agung, Mohd Fadli Mohd Noor; Setiausaha Kewangan, Anuar Mamat dan Timbalan Setiausaha Kewangan, Rozimas Ismail.

Sementara itu, Adnan berkata, selain membawa isu gaji minimum anggota perkhidmatan awam, kongres itu akan membawa isu kenaikan gaji tahunan (KGT) agar ia disemak semula kerajaan.

Katanya, setakat ini mereka hanya menerima antara RM80 hingga RM320 iaitu kenaikan interim yang telah dipersetujui sejak 2012.

"Kos sara hidup mengikut Jabatan Perangkaan mendapati meningkat RM115 sebulan. Maka dengan kenaikan RM80 itu sudah tidak munasabah dan perlu kerajaan unjurkan ( kenaikan baharu).

"Konvokesyen CUEPACS telah cadangkan perlu kenaikan tangga gaji baharu kepada anggota perkhidmatan awam dengan minimum KGT kepada RM180 setahun kepada gred paling rendah," katanya.

Konvensyen yang diadakan tiga tahun sekali itu diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam dekat sini, bermula Sabtu lalu.

Berita Harian X