Isnin, 19 Disember 2022 | 11:05am

Johari ikrar penuhi tanggungjawab Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Johari Abdul berikrar akan memenuhi tanggungjawabnya sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab prosiding dan urusan dewan.

Katanya, beliau yakin dengan pengalaman dan pengetahuan sebelum ini sebagai bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), ahli perniagaan, bekas Ahli Parlimen dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berupaya membantunya melaksanakan tanggungjawab yang berat itu.

"Seperti yang diketahui umum, kerusi Yang Dipertua adalah simbolik kepada kuasa dan bidang tugas Yang Dipertua pula mengawal selia mesyuarat serta memastikan kelancaran, mesyuarat dengan pematuhan peraturan oleh Ahli Dewan Rakyat seperti dengan jelas termaktub dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Justeru, saya memohon semua Ahli Dewan Rakyat menghormati kerusi Yang Dipertua ini dengan memberi penghormatan dan kepercayaan kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan atas dasar kapasiti peribadi tetapi sebagai individu yang dipilih menduduki kerusi ini dan diberi tanggungjawab dalam segala prosiding serta urusan dalam dewan yang mulia ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung selepas dilantik ke jawatan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, beliau juga yakin dengan semua Ahli Dewan Rakyat dapat memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman dalam membangunkan negara berikutan sebahagian mereka pernah memegang jawatan menteri mahupun sebagai pembangkang.

Katanya, semua Ahli Dewan Rakyat perlu menjadikan dewan mulia itu sebagai platform untuk menyampaikan teguran membina serta menyampaikan pendapat dengan molek dan bernas.

"Ahli Dewan Rakyat perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan mulia ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu," katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kerajaan yang terbentuk hari ini adalah dengan titah perkenan baginda.

"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada kali ini dalam mencorakkan kepemimpinan negara.

"Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini juga menyaksikan pembabitan anak muda seawal umur 18 tahun sebagai pengundi yang memberi impak peningkatan besar peratusan keluar mengundi buat julung kali dalam sejarah PRU sekali gus turut memberi sumbangan penting dalam membentuk hala tuju negara," katanya.

Terdahulu, Johari yang dicalonkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau dilantik ke jawatan itu selepas mendapat 147 undi, manakala pencabarnya, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang dicalonkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hazmah Zainudin hanya memperoleh 74 undi.

Berita Harian X