KUALA LUMPUR : Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai majlis mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pagi ini.
Ia kemudian diikuti oleh dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Seterusnya, Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Giliran majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan, yang didahului barisan menteri dan timbalan menteri diikuti Ahli Parlimen dari blok pembangkang.
Hanya Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang diberi laluan untuk mengangkat sumpah dari tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat kerana beliau tidak boleh berjalan ke mimbar yang ditetapkan atas faktor kesihatan.
Bagi blok pembangkang pula, giliran angkat sumpah dimulai dengan ketua pembangkang, merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, diikuti Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Seramai 222 Ahli Parlimen dipilih bagi mewakili 222 kawasan pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November lalu.
Terdahulu, urusan sidang khas Dewan Rakyat pagi tadi dimulai dengan aturan untuk melantik Speaker Dewan Rakyat, yang dikendalikan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Selain urusan pemilihan speaker, timbalan speaker dan undi percaya terhadap Perdana Menteri, sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama dua hari hingga esok turut dijangka meluluskan usul mini Belanjawan 2023. -ends.