Isnin, 19 Disember 2022 | 10:36am

Kenderaan berat juga terkandas

SETIU: Lebih 20 kenderaan termasuk lori terkandas di laluan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Bandar Permaisuri di sini semalam, selepas laluan berkenaan dinaiki air.

Beberapa pemandu yang ditemui berkata, mereka tidak berani mengambil risiko meredah air banjir sejauh hampir 500 meter berikutan aliran air yang deras.

Pemandu kren, Aizam Abdullah, 44, berkata beliau yang dalam perjalanan dari Kemaman menuju ke Kelantan terkandas di laluan berkenaan 4 petang semalam.

"Saya tiba di sini kira-kira jam 4 pagi dan melihat keadaan air yang deras, saya tak berani nak redah.

"Lagipun, kita tidak tahu keadaan jalan di situ. Bimbang ada kerosakan, sekiranya ada laluan yang rosak," katanya.

Pemandu lori, N Kannan, 39, tidak menyangka akan berdepan situasi berkenaan selepas dua tahun berulang alik menggunakan laluan itu.

Katanya, beliau yang terkandas bersama dua pembantunya dalam perjalanan dari Kelantan ke Pahang.

"Kami sampai di sini kira-kira jam 6 petang dan tengok laluan ditutup sebab air deras. Banyak lagi kenderaan yang berhenti di tepi jalan," katanya.

Setakat jam 8 pagi, kenderaan di kawasan berkenaan masih terkandas di tepi jalan berikutan laluan berkenaan masih ditutup, selain hujan masih melanda sekitar Bandar Permaisuri.

Kenderaan berat seperti kren juga terkandas di Bandar Permaisuri, Terengganu sejak petang semalam. - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Kenderaan berat seperti kren juga terkandas di Bandar Permaisuri, Terengganu sejak petang semalam. - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Berita Harian X