KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok. Ia adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri ke-10 (PM10) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan 24 November lalu.
Mesyuarat kali ini akan membabitkan beberapa keputusan penting iaitu pemilihan Speaker dan dua timbalannya, angkat sumpah wakil rakyat, usul undi percaya bagi keabsahan PM10 dan pembentangan peruntukan khas atau mini bajet bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.
BH membawakan secara langsung perkembangan sidang sulung kerajaan baharu ini:
Anwar dapat sokongan majoriti usul percaya sebagai PM
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini.
Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Ahli Parlimen dibenar tak pakai tali leher di Dewan Rakyat
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul membenarkan Ahli Parlimen yang hadiri sidang esok dikecualikan daripada memakai tali leher.
Menurutnya, kebenaran itu diberi selepas mendapat permintaan serta cadangan daripada wakil rakyat.
"Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan sebelum untuk esok, mereka yang nak memakai sut, saya mengecualikan daripada memakai tali leher," katanya sebelum tangguh sidang.
Dengan pengecualian itu, Johari berkata, Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat esok boleh memakai set baju Melayu atau sut tanpa tali leher.
Usul percaya terhadap PM10 lulus di Dewan Rakyat
6.12 petang: Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mengumumkan usul percaya PM10 disetujukan menerusi undian suara apabila lebih ramai suara setuju
Usul itu disetujukan selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu); Doris Sophia Brodi (Sri Aman); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa) dan Ahmad Fadhil Shaari (Pasir Mas).
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Datuk Dr Jeffery Kitingan (Keningau); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).
5.45 petang:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menggulung perbahasan usul percaya PM10
Dzulkefli Ahmad kata MoU lebih baik berbanding SD
5.30 petang: Dzulkefli Ahmad (PH-Kuala Selangor) mempertahankan pemeteraian memorandum persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan.
Katanya, amalan itu dapat beralih daripada kebergantungan kepada akuan bersumpah (SD) yang boleh "menghuru-harakan sistem".
Biar mereka undi sesama sendiri - Shahidan
5.20 petang: Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan PN tidak mengambil bahagian dalam undi percaya.
Katanya, tiada lagi keperluan berbuat demikian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah pun melantik Anwar.
"Biar mereka undi sesama sendiri," katanya.
Beralih pada pelbagai sumber - Rafizi
4.55 petang: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan menyasarkan untuk beralih kepada kebergantungan kepada pelbagai sumber yang lebih kukuh, lestari dan progresif.
Dia juga mahu ekonomi Malaysia bergerak melampaui kebergantungan kepada komoditi dan pembuatan bernilai rendah dan beralih kepada ekonomi berasaskan teknologi, bernilai tambah, kreativiti dan inovasi.
Ronald pertikai status 4 wakil rakyat GRS, cadang usul percaya ditangguh
4.35 petang: Seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) hari ini mencadangkan supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan selama 21 hari.
Ini kerana status empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong kerajaan, dipertikaikan.
"Perbezaan kedudukan yang berlaku hari ini, adalah lazimnya sebelum ini (tiada masalah) tetapi dengan akta antilompat parti, maka perbezaan ini mesti diperjelaskan.
"Ini membawa kepada keabsahan kedudukan Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) dalam proses undi percaya kerana kedudukan empat Ahli Parlimen ini dipertikaikan disebabkan akta antilompat parti," katanya membahas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Undi percaya bersifat akademik - Takiyuddin
4.10 petang: Takiyuddin berkata undi percaya adalah tidak perlu dan bersifat akademik, kerana Anwar telah pun mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Dia berkata adalah lebih munasabah undian dilakukan sebelum seseorang perdana menteri dilantik.
Ketua pembangkang cabar Anwar saman media eropah gelarnya homoseks
3.20 petang: Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin meminta PM Anwar Ibrahim menyaman media Eropah, yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai "homoseksual sepenuhnya" (full-blown homosexual).
Hamzah berkata ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan dia mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
Dia berkata Anwar sebelum ini telah disabitkan "mengenai perkara itu", merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
3.15 petang: Dewan kecoh dengan perkataan bodoh, pertengkaran Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mengatakan nama Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya digunakan untuk mewajarkan usul percaya itu.
Ini kemudian mencetuskan suasana kecoh apabila Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengatakan tidak seperti Muhyiddin Yassin, Anwar cukup berani untuk berdepan undi percaya.
Shahidan Kassim (PN-Arau) kedengaran berkata "bodoh" menimbulkan kemarahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).
"Siapa yang bodoh?" soal Sany berulang kali.
Johari cuba mengawal keadaan Dewan dan mengarahkan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) supaya duduk dan tidak membuat gangguan.
Keadaan kecoh itu bagaimanapun kembali tenang dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin dijemput menjadi pembahas pertama dalam usul percaya terhadap Anwar.
3.10 petang Usul percaya hanya gimik kata Ketua Pembangkang
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.
"Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik seagai Perdana Menteri.
"Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH)," katanya.
TPM Fadillah bentangkan usul percaya terhadap PM10
3.09 petang: Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan Usul Undi Percaya Terhadap Kepimpinan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini
3.07 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.
3 petang: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat Parlimen Kelima Belas yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini.
Jangan berlaku apa-apa kacau bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu.
3.03 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul khas di Dewan Rakyat berkaitan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor yang mengakibatkan 24 mangsa meninggal dunia setakat hari ini.
Ramli, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat
2.55 petang: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengumumkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.
Ramli memperoleh 148 undi manakala Alice menerima 146 undi.
#BHnasional Usul pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat sejurus 222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15, hari inihttps://t.co/YtKztgecDW
— Berita Harian (@bharianmy) December 19, 2022
Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat bermula
2.30 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
- Ahli Parlimen Kota Baharu, Datuk Seri Takiyuddin Hasan mencadangkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mewakili blok pembangkang dan cadangan itu disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim.
- Proses pengundian bagi memilih dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bermula dengan semua Ahli Parlimen diberikan kertas undi untuk memilih dua daripada tiga calon yang dinamakan.
- Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul meminta semua Ahli Parlimen menulis nama tidak lebih dari dua calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dipilih, masing-masing diatas satu kertas undi yang diedarkan kepada mereka.
SIDANG DEWAN RAKYAT DITANGGUHKAN SEHINGGA JAM 2.30 PETANG
1.10 tengah hari: Proses mengangkat sumpah semua 222 Ahli Parlimen selesai dan sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang.
12.55 tengah hari: Dewan Rakyat meluluskan usul untuk melanjutkan sesi sebelah pagi selepas 1 tengah hari - iaitu waktu Dewan Rakyat dijadualkan berhenti rehat.
Ini supaya upacara angkat sumpah bagi semua ahli parlimen dapat diselesaikan sebelum waktu rehat.
Sehingga berita ini ditulis, kira-kira 20 ahli parlimen pembangkang masih belum mengangkat sumpah.
MP pembangkang mula angkat sumpah
12.20 tengah hari: Ahli parlimen pembangkang mula mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mendahului mereka diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).
11.45 pagi: Gabungan NGO yang dikenali sebagai 'Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib' memohon semakan dan nyahklasifikasi laporan siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Ketika membaca memorandum mereka di luar pintu Parlimen, jurucakap NGO itu Lokman Noor Adam mendakwa Nazlan mempunyai "konflik kepentingan" ketika mengadili perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib. Dia mendakwa sabitan bersalah terhadap Najib adalah "dirancang".
Dokumen itu diserahkan Lokman kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Gan Wen Shen di pekarangan luar bangunan Parlimen.
Bercakap pada sidang media, Lokman menggesa, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun segera mengambil tindakan ke atas Mohd Nazlan, berpandukan cadangan kertas siasatan SPRM.
#BHnasional Perubahan ketara dapat dilihat apabila kerusi yang dikhususkan untuk Ketua Majlis kini diduduki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebelahnyahttps://t.co/lbT1KCKGKb
— Berita Harian (@bharianmy) December 19, 2022
Seorang MP kerajaan tidak undi
10.45 pagi: Jumlah ahli parlimen yang mengundi semasa pemilihan speaker ialah seramai 221 orang, kurang satu daripada jumlah keseluruhan 222 Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib dikatakan tidak sempat mengundi kerana lewat sampai Parlimen.
Sekiranya Ahli Parlimen berkenaan mengundi, seramai 148 Ahli Parlimen berpihak kepada kerajaan, Johari Abdul akan memperoleh undi majoriti dua pertiga undi sebagai Speaker.
Hanifah Hajar bagaimanapun hadir angkat sumpah jawatan Ahli Parlimen.
#BHnasional Timbalan Menteri Ekonomi itu tidak sihat awal hari ini emnyebabkan tiba lewat ke Dewan Rakyathttps://t.co/8aIK1UxCaQ
— Berita Harian (@bharianmy) December 19, 2022
10.40 pagi: Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai giliran upacara mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pagi ini, diikuti Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Angkat sumpah kemudian diikuti dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Seterusnya, Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Johari ikrar penuhi tanggungjawab Speaker Dewan Rakyat
Datuk Johari Abdul berikrar akan memenuhi tanggungjawabnya sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab prosiding dan urusan dewan.
Katanya, beliau yakin dengan pengalaman dan pengetahuan sebelum ini sebagai bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), ahli perniagaan, bekas Ahli Parlimen dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berupaya membantunya melaksanakan tanggungjawab yang berat itu.
10.39 pagi: Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul memulakan upacara mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, yang dibuat secara giliran seorang demi seorang.
10.37 pagi: Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul memimpin semua Ahli Parlimen bertafakur dan menyampaikan Al-Fatihah kepada semua mangsa termasuk yang meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali.
Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat
10.27 pagi: Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dilantik, Datuk Johari Abdul mengangkat sumpah jawatan.
10.25 pagi: Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas mendapat 147 undi.
- Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas memperoleh undi sokongan tertinggi dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Johari memperoleh sokongan 147 undi, sementara seorang lagi calon yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.
Pada proses pengundian itu, setiap Ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.
Johari pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Biro Tata Negara (BTN) selain mempunyai ijazah sarjana di dalam Pengajian Strategik dari University of Lancaster.
Beliau menjadi Parlimen Sungai Petani sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, namun mengambil keputusan tidak bertanding pada PRU ke-15 lalu, dengan kerusi lamanya kini disandang anaknya, Dr Taufiq Johari.
Sebelum itu, pemimpin senior PKR itu pernah mencuba nasib bertanding di Parlimen Sungai Petani pada PRU 1999 dan pilihan raya umum 2004 bagi DUN Bakar Arang tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).
Semalam, beliau juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun berkuat kuasa serta-merta melalui sepucuk surat yang dikirim bertarikh 13 Disember lalu.
Pemilihan Speaker Dewan Rakyat bermula:
Proses pengundian bagi memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat bermula selepas terdapat dua pencalonan daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Pengundian dibuat dengan Ahli Parlimen mengisi nama calon pada kertas undian yang diedarkan kepada mereka.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukan cadangan mencalonkan Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
10.15 pagi: Sekumpulan kira-kira 20 orang dilihat berkumpul beberapa ratus meter di jalan menuju ke Parlimen, dengan menaikkan beberapa kain rentang bagi menuntut kerajaan menangani isu kos sara hidup.
Salah satu mesej pada kain rentang itu meminta kerajaan meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP.
Anggota polis berpakaian seragam juga dilihat berada di situ ketika kumpulan itu menunggu kenderaan rasmi milik Ahli Parlimen memasuki Parlimen.
10.10 pagi: Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin meminta semua Ahli Parlimen menulis nama calon Speaker Dewan Rakyat yang dipilih, masing-masing diatas satu kertas undi yang diedarkan kepada mereka.
10.08 pagi: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
10.05 pagi: Dewan Rakyat mula bersidang.
Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin mengendalikan permulaan sidang khas Parlimen pagi ini, selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat semalam.
10 pagi: Loceng Parlimen dibunyikan sebagai isyarat permulaan sidang Dewan Rakyat Penggal Pertama di bawah Kerajaan Perpaduan.
9.57 pagi: Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mula memenuhi tempat duduk masing-masing di Dewan Rakyat
9.45 pagi Dewan Rakyat akan mula bersidang jam 10 pagi
Kalangan Ahli Parlimen yang menang PRU15 mula beratur masuk Dewan Rakyat untuk sidang pertama kali ini.
Sebaik sidang bermula jam 10 pagi, Ahli Parlimen akan terlebih dahulu memilih Speaker Dewan Rakyat yang baru.
Johari Abdul dari PKR difahamkan calon kerajaan bagi mengisi jawatan itu manakala PN akan mencalonkan Ahli Parlimen Kangar, Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Sebaik sahaja Speaker baru dipilih, ahli parlimen kemudiannya akan mengangkat sumpah dan selepas itu akan memilih timbalan Speaker.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor dari BN, dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan bagi jawatan Timbalan Speaker.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan usul agar polis memastikan Ahli Parlimen tidak dihalang memasuki Parlimen.
Selepas itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan bagi bacaan kali pertama.
RUU bagi bacaan kali pertama tidak akan melalui perbahasan dan menjadi perkara prosedur.
Ini akan diikuti dengan undi percaya terhadap Anwar Ibrahim yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Rang undang-undang Kumpulan Wang Disatukan dan usul bagi peruntukan lain berkemungkinan besar dibahaskan esok.