Ahad, 18 Disember 2022 | 11:18pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022 di Bangi, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022 di Bangi, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

INSKEN bantu lonjak jualan usahawan tempatan

BANGI: Program bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya melonjakkan hasil jualan usahawan tempatan sehingga RM8.7 juta dan mencipta 100 peluang pekerjaan baharu sepanjang tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata melalui tiga program bimbingan, iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, INSKEN turut berjaya membantu 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.

"Saya amat teruja melihat pencapaian program yang dilaksanakan INSKEN, yang jelas membuktikan program bimbingan ini memberikan kesan dan impak yang positif kepada usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.

Pada masa sama, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut berkerjasama dengan INSKEN dalam membantu usahawan, sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, pencapaian keseluruhan pada tahun ini dicapai melalui 38 program bimbingan yang sudah tamat, membabitkan 1,395 usahawan.

"Pencapaian cemerlang ini menjadikan INSKEN semakin bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak program bimbingan pada tahun depan supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu," katanya.

Pada majlis itu, seramai 180 usahawan menerima sijil selepas berjaya menamatkan program bimbingan INSKEN.

Berita Harian X