SUNGAI BULOH: Sepasang suami isteri serta dua anak mereka yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Jumaat lalu, amat menggemari aktiviti perkhemahan.
Adik mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai, Mary, 58, berkata kakaknya sekeluarga memang kerap melakukan aktiviti itu apabila mempunyai masa lapang dan turut memaklumkan mengenai percutian mereka ke tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali.
"Kami tahu mereka pergi berkelah di situ (Father's Organic Farm) bersama kawan. Kawannya yang pergi berkhemah itu turut membawa keluarga. Mereka memang suka pergi berkhemah.
"Sebaik mendapat tahu kejadian menerusi berita dan media sosial, kami sangat bimbang dan hanya mampu berdoa. Kami amat berharap mereka dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses pengecaman mayat di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Mary berkata, mayat kakaknya bersama suami dan anak lelakinya berusia tiga tahun, sudahpun menjalani proses bedah siasat serta proses pengecaman oleh waris dan akan dituntut oleh beliau sekeluarga, pada malam ini.
Bagaimanapun, mayat anak perempuan mangsa yang berusia enam tahun belum ditemui.
Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditangguhkan malam ini berikutan hujan.
Ketua Polis Daerah Hulu, Selangor Superintendan Suffian Abdullah, berkata operasi SAR akan disambung semula pada jam 8 pagi esok, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Setakat ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban manakala sembilan lagi belum ditemui. – BERNAMA