SUNGAI BULOH: Tiga daripada 24 mayat mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, dekat sini dijangka dituntut sekitar jam 8 malam ini, untuk proses pengebumian.
Ia membabitkan mayat sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun.
Bagaimanapun, seorang lagi anak perempuan mangsa yang berusia enam tahun belum ditemui di tempat kejadian.
Perkara itu dimaklumkan waris mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Mary, 58, ketika ditemui pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) lewat petang tadi.
"Mereka empat beranak memang sukakan aktiviti perkhemahan. Mereka semua datang dari Machap Baru. Mereka pergi berkhemah bersama rakan yang juga satu keluarga, seramai empat orang.
"Sekarang ini, mayat kakak saya, abang ipar dan anak lelaki mereka sudah ditemui. Hanya anak saudara perempuan saya sahaja belum ditemui," katanya yang hadir bersama tiga ahli keluarga lain.
Ditanya bagaimana mengenai tragedi yang berlaku, Mary berkata ia menerusi maklumat kejadian tanah runtuh di Facebook.
Beliau juga risau dengan tragedi menimpa keluarganya dan mendoakan semuanya dalam keadaan baik dan lancar.
"Mayat kita akan bawa keluar malam ini juga. Tidak dibawa balik Melaka. Ibu saya dan ahli keluarga lain menunggu di rumah," jelasnya..
Tiga mayat itu adalah baki daripada 24 mayat yang dihantar di Jabatan Forensik HSB sejak kelmarin.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan lewat petang tadi, mengesahkan identiti 21 mayat tragedi berkenaan.