KUALA LUMPUR: Perjanjian persefahaman (MoU) dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani pada 16 Disember lalu adalah langkah yang tepat serta bijak kerana kepemimpinan faham untuk mewujudkan kestabilan di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata berbezanya kali ini, MoU yang ditandatangani oleh parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah dan parti yang menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu perjanjian berkenaan dibuat secara terbuka serta kandungannya boleh dibaca dan difahami oleh rakyat.
"Inilah cara terbaik untuk mewujudkan kestabilan kerajaan pasca Parlimen tergantung, supaya kita boleh fokus selesaikan masalah rakyat, terutama isu kos sara hidup serta memacu ekonomi untuk membangunkan Malaysia.
"Sudah-sudahlah menabur bibit pertikaian dan kebencian melampau. Kita 'move on' dan ketepikan politik, fokus khidmat bakti dalam apa juga jawatan yang dipegang, demi masa depan Malaysia," katanya dalam Facebook, hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin YassinMas Ermieyati Samsudin yang mendakwa MoU berkenaan memaksa Ahli Parlimen undi usul kepercayaan untuk Perdana Menteri atau kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) dianggap tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator.
Mas Ermieyati dilaporkan berkata, perjanjian dimeterai parti politik bagi membentuk kerajaan PH-BN juga haram, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kedua-dua ahli politik itu menabur fitnah kepada Kerajaan Perpaduan dengan hujah 'diktator' atau tak sah' terhadap MoU yang ditandatangani oleh parti yang membentuk kerajaan kini. Malah pertikaian mereka itu disifatkan sebagai kemunafikan politik.
"Di mana laungan 'diktator' Mas Ermieyati apabila PH menandatangani MoU dengan kerajaan (yang dipimpin) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob? Klausa 3a MoU berkata PH mesti sokong Bajet 2022 (ia) bermaksud Ahli-Ahli Parlimen PH tiada pilihan dalam bab ini. Itu tak diktator?
"Kami dalam PH memahami keperluan kestabilan kerajaan, maka itu antara sebab mengapa kami memilih untuk menandatangani MoU itu. Waktu Mas Ermieyati jadi timbalan menteri, bab ini tak pula kamu pertikai? Atau kamu tak pertikai sebab kamu timbalan menteri waktu itu?" katanya.