HULU SELANGOR: Mayat mangsa ke-22 dan 23 yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm ditemui jam 1.05 tengah hari tadi.
Mayat mangsa ke-22 iaitu wanita berusia lingkungan 30-an dan kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 10 tahun dipercayai anak wanita itu ditemui di kawasan Sektor A (Hillview).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata kedua-dua mayat itu ditemui dalam keadaan berhampiran.
"Mayat dua beranak itu ditemui tertimbus kira-kira sedalam satu meter di kawasan Hillview di penghujung kawasan tapak perkhemahan Jalan Batang Kali-Goh Tong Jaya ini.
"Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan yang sempurna oleh anggota penyelamat yang melakukan pengorekan tanah di kawasan itu," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Norazam berkata, setakat ini empat jentera jengkaut digunakan untuk melakukan kerja pengorekan sehingga tanah dasar.
"Pengorekan dilakukan dari 10 hingga 15 meter hingga ke tanah dasar atau tanah asal, sebelum kejadian tanah runtuh berlaku. Kita sudah mengetahui susun atur khemah mangsa.
"Susulan itu fokus kini beralih ke sektor A iaitu di kawasan Hillview," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata pasukan penyelamat masih berada di lokasi untuk mencari 10 lagi baki mangsa.
"Justeru polis meminta kepada mana-mana pihak membuat laporan berhubung kehilangan ahli keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut.
"Waris yang kehilangan ahli keluarga atau sanak-saudara boleh mengenalpasti identiti mangsa di Hospital Sungai Buloh," katanya.