Sabtu, 17 Disember 2022 | 2:46pm

Sembilan kaunselor bantu waris bencana

SUNGAI BULOH: Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan sembilan kaunselor di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, bagi memberi sokongan moral kepada waris keluarga bencana runtuhan cerun tapak perkhemahan dekat Batang Kali.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kaunselor itu dibahagikan kepada tiga sesi dan setiap sesi ada tiga pegawai bertugas.

"Semalam saya maklumkan KPM akan menawarkan sokongan psikososial kepada waris. Hari ini, saya boleh sahkan kaunselor berkenaan sudah mula bertugas.

"Sokongan ini kita akan teruskan sehingga selesai. Untuk hari ini, saya datang untuk melihat sendiri bagaimana pasukan KPM bertugas, khususnya mereka yang bertugas di jabatan forensik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, dianggarkan seramai 100 orang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm, Batang Kali.

Runtuhan itu membabitkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat jam 2 petang ini, 23 terkorban dan 10 mangsa masih hilang.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keadaan waris yang ditemui di unit berkenaan, Fadhlina berkata, mereka menghadapi proses yang sangat sukar dan perlu diberikan ruang untuk bertenang.

"Saya minta itu sahaja. Untuk mereka diberikan sedikit ruang untuk mendapatkan maklumat yang tepat (berhubung tragedi).

"Mereka juga perlu diberikan ruang untuk dapatkan sokongan psikososial serta sokongan daripada rakyat Malaysia untuk mendoakan proses yang berlaku ini dipermudah," katanya.

Menjawab soalan pemberita sama ada akan terdapat penambahan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong pada sesi persekolahan akan datang, Fadhlina berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

"Itu akan dimaklumkan dari masa ke masa, kerana proses (SAR) ini masih berlangsung," katanya.

Fadhlina berkata, pihaknya belum menerima senarai nama guru yang terbabit dalam kejadian itu dan perkara itu hanya akan disahkan oleh polis.

Sebelum ini, Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, U Chin Ong mengesahkan terdapat tujuh guru sekolah berkenaan berada di tapak perkhemahan berkenaan.

Waris mangsa bencana Batang Kali hadir untuk membuat pengecaman di Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Waris mangsa bencana Batang Kali hadir untuk membuat pengecaman di Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Ahli keluarga mangsa runtuhan cerun tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman mayat hari ini. - Foto BERNAMA
Ahli keluarga mangsa runtuhan cerun tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman mayat hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X