Sabtu, 17 Disember 2022 | 2:36pm
Tinjauan di SJKC Mun Choong pagi tadi mendapati tiada sebarang aktiviti atau upacara dikendalikan oleh pihak sekolah. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Tinjauan di SJKC Mun Choong pagi tadi mendapati tiada sebarang aktiviti atau upacara dikendalikan oleh pihak sekolah. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Tanah runtuh: Pengurusan SJKC Mun Choong tunggu perkembangan semasa

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong masih menunggu perkembangan semasa daripada anggota penyelamat yang giat mencari guru sekolah itu yang dilaporkan hilang dalam tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm di Batang Kali, Selangor, semalam.

Guru Penolong Kanan 1 SJKC Mun Choong, Ng Siew Foon, berkata sehingga kini pihak sekolah juga belum mempunyai sebarang perancangan upacara untuk diadakan dalam masa terdekat.

"Sebarang upacara akan dimaklumkan kemudian sebab ramai guru saya belum dapat dicari," katanya kepada BH hari ini.

Tinjauan di SJKC Mun Choong pagi semalam mendapati tiada sebarang aktiviti atau upacara dikendalikan pihak sekolah sehingga kini, namun terdapat beberapa individu yang meletakkan jambangan bunga di hadapan pagar sekolah itu sebagai tanda ucapan takziah kepada pihak sekolah.

Terdapat beberapa individu yang meletakkan jambangan bunga di hadapan pagar SJKC Mun Choong sebagai tanda ucapan takziah kepada pihak sekolah itu. - Foto NSTP/Suzalina Halid
Terdapat beberapa individu yang meletakkan jambangan bunga di hadapan pagar SJKC Mun Choong sebagai tanda ucapan takziah kepada pihak sekolah itu. - Foto NSTP/Suzalina Halid

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm awal pagi semalam sehingga kini mengorbankan 21 nyawa, manakala 12 lagi masih belum ditemui.

Runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter itu turut membabitkan lebih 60 mangsa lain yang berjaya diselamatkan.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan terdapat guru dan murid SJKC Mun Choong yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu.

Fadhlina dilaporkan, berkata lawatan kumpulan itu ke lokasi berkenaan bagaimanapun bukan anjuran pihak sekolah sebaliknya ia dilakukan secara persendirian.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong, dilaporkan berkata, seramai tujuh guru daripada sekolah itu menyertai aktiviti perkhemahan di tapak terbabit sejak Rabu lalu.

Katanya, dua guru wanita sekolah itu ditemui selamat manakala lima lagi rakan sekerja mereka masih hilang dalam tragedi itu.

"Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keadaan guru yang hilang itu," katanya.

Berita Harian X