Sabtu, 17 Disember 2022 | 1:50pm

Pindaan Akta Kerja 1955 untuk waktu kerja fleksibel

SHAH ALAM: Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan waktu kerja fleksibel adalah antara perkara yang bakal diberi tumpuan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menterinya, V Sivakumar, berkata pindaan itu termasuk beberapa pelan lain yang dirancang oleh kementerian yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada semua agensi bawah kementerian untuk mengetahui peranan serta fungsi setiap jabatan dengan baik.

"Saya juga sedang lihat semua dasar-dasar sedia ada dan apa sahaja yang akan saya laksanakan itu akan dibuat selepas mendapatkan input. Mungkin saya akan mengambil masa kira-kira seminggu lagi untuk mendapatkan maklumat.

"Saya harap perkara-perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS 29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Sivakumar turut menggalakkan kerjasama kukuh antara semua pekerja awam dan pimpinan negara untuk memastikan integriti sentiasa dipelihara.

"Semua penjawat awam perlu menyemai semangat integriti yang menjadi prinsip dan tunggak kepada pembangunan negara," katanya.

Turut hadir adalah Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Terdahulu, konvensyen berkenaan dihadiri lebih 2,000 perwakilan daripada kesatuan-kesatuan penjawat awam dari seluruh negara.

V Sivakumar (tiga dari kanan) diiringi Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-29 Sesi 2022 - 2025 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam - Foto NSTP/Faiz Anuar
V Sivakumar (tiga dari kanan) diiringi Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-29 Sesi 2022 - 2025 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam - Foto NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X