Sabtu, 17 Disember 2022 | 1:12pm

CUEPACS harap gaji minimum RM1,800 direalisasikan kerajaan baharu

SHAH ALAM: CUEPACS berharap kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat merealisasikan tuntutan gaji minimum RM1,800 yang dikemukakan kongres itu.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perkara itu sudah dicadangkan kepada kerajaan tiga tahun lalu, bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19 dan pertukaran kerajaan, ia tidak dapat dilaksanakan.

"Anggota perkhidmatan awam masih lagi diberi gaji minimum RM1,200, justeru

CUEPACS mencadangkan ia (gaji minimum RM1,800) dapat dilihat semula bagi sektor awam oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10.

"Jumlah RM1,800 jika dicampur dengan elaun boleh menghampiri RM2,450. Jumlah ini menghampiri sasaran negara maju berpendapatan tinggi pada 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen pada 27 November 2021," katanya selepas Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Adnan berkata, anggota perkhidmatan awam juga kekal memberikan perkhidmatan dan penyampaian terbaik walaupun Perdana Menteri sudah bertukar sebanyak empat kali dalam tempoh empat ke lima tahun.

"Jika berlaku bencana contohnya tanah runtuh, banjir dan sebagainya kamilah ke hadapan, menjaga keamanan dan ketenteraman.

"Kami melaksanakan tugas sebaik mungkin walaupun kerajaan berubah, tetapi sistem penyampaian tidak berubah. Justeru, kami memohon sedikit kelegaan daripada kerajaan dengan gaji minimum baharu serta tambahan gaji kepada senior sedia ada," katanya.

Adnan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-29 Sesi 2022-2025 di Shah Alam Convention Centre, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Adnan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-29 Sesi 2022-2025 di Shah Alam Convention Centre, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X