Sabtu, 17 Disember 2022 | 12:24pm
Antara waris mangsa yang hadir di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh. - NSTP/Saifullizan Tamadi 
Antara waris mangsa yang hadir di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh. - NSTP/Saifullizan Tamadi 

Tragedi tanah runtuh: Keluarga mangsa masih hilang terus menaruh harapan

SUNGAI BULOH: Keluarga kepada mangsa yang masih hilang dalam bencana runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali, masih menaruh harapan agar mereka ditemui selamat, walaupun kejadian itu sudah melebihi 24 jam dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus giat dijalankan.

Sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu Chi, Tan Chee Wei, 50, berkata harapan itu ialah antara luahan waris mangsa kepada mereka.

"Mereka (waris) memang masih berharap (agar ahli keluarga ditemui selamat) walaupun ada yang sudah memberi data asid deoksiribonukleik (DNA) bagi keperluan proses kenal pasti mangsa," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini, hari ini.

Insiden awal pagi semalam membabitkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m. Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan terkorban dan 61 berjaya diselamatkan, manakala 12 lagi masih hilang.

Anggota Bomba berehat selepas operasi mencari mangsa runtuhan cerun di Batang Kali. - Foto ihsan Bomba
Anggota Bomba berehat selepas operasi mencari mangsa runtuhan cerun di Batang Kali. - Foto ihsan Bomba

Operasi SAR disambung semula kira-kira jam 7.30 pagi selepas ditangguhkan sementara malam tadi atas faktor cuaca hujan.

Mengulas lanjut, Chee Wei berkata, sukarelawan yayasan itu hadir untuk memberi sokongan moral kepada waris mangsa.

"Selain itu, kami juga menyediakan makanan dan menemani mereka menjalani beberapa prosedur yang diminta.

"Ini kerana kami berasakan waris terbabit sangat memerlukan sokongan mental ketika berdepan detik sebegini, di samping bantuan kaunseling disediakan pihak hospital," katanya.

Beliau berkata, seramai 50 sukarelawan digerakkan ke beberapa lokasi sejak semalam, meliputi tempat kejadian, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Balai Polis Hulu Yam Bharu.

"Kami akan berada di tempat berkenaan hingga selesai, membabitkan tiga syif dari awal pagi hingga tengah malam," katanya.

 

Sukarelawan Unit Amal bersolat ketika waktu rehat selepas membantu petugas keselamatan mencari mangsa bencana Batang Kali, semalam. - Foto ihsan Bomba
Sukarelawan Unit Amal bersolat ketika waktu rehat selepas membantu petugas keselamatan mencari mangsa bencana Batang Kali, semalam. - Foto ihsan Bomba

Berita Harian X