Jumaat, 16 Disember 2022 | 5:31pm
Timbalan Menteri Dalam, Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, merasmikan Festival Lenggong Geopark 2022 sempena ulang tahun pertama Lenggong Geopark di Laman Budaya, di sini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Timbalan Menteri Dalam, Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, merasmikan Festival Lenggong Geopark 2022 sempena ulang tahun pertama Lenggong Geopark di Laman Budaya, di sini. - Foto NSTP/L MANIMARAN

KDN terbuka beri pencerahan kebaikan SOSMA

LENGGONG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersikap terbuka untuk memberi pencerahan berhubung kebaikan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya mahu mengelakkan tanggapan dan stigma negatif mengenai akta itu, termasuk kononnya lapuk dan berat sebelah.

"Semua undang-undang yang kita buat dalam negara ini adalah usaha menjaga kepentingan rakyat. Pelaksanaan SOSMA sebenarnya adalah untuk kebaikan rakyat dan kita mahu semua pihak, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memahami perkara ini.

"Mungkin mereka (yang mempertikai) tidak dapat maklumat yang tepat mengenainya. Jadi, saya harap mereka boleh datang dan kita terbuka untuk berkongsi maklumat dengan semua," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Lenggong Geopark 2022 sempena ulang tahun pertama Lenggong Geopark di Laman Budaya, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharudin, yang menyifatkan SOSMA sebagai undang-undang berat sebelah dan boleh disalahgunakan.

Media semalam memetik Zaidel sebagai berkata, undang-undang yang lebih baik perlu dirangka bagi menangani isu keselamatan, yang memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan dengan cepat serta mempunyai proses semak dan imbang yang jelas.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilapor mengulangi pendiriannya berhubung keperluan pelaksanaan SOSMA.

Beliau berkata, undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket dalam jumlah yang ramai.

Sebagai rekod, SOSMA memperuntukkan langkah khas berhubungan dengan kesalahan keselamatan, bertujuan mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Antara inti pati akta terbabit adalah seorang pegawai polis boleh menangkap dan menahan mana-mana pihak yang dipercayai terbabit dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan dan penahanannya boleh dilanjutkan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari.

Selain itu, peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan dan jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduhkan atas kesalahan keselamatan, selain semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Berita Harian X