Jumaat, 16 Disember 2022 | 5:06pm
Mangsa tanah runtuh berehat di balai polis hari ini. - Foto EPA
Mangsa tanah runtuh berehat di balai polis hari ini. - Foto EPA

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Sebanyak 11 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, setakat 4.20 petang ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata lima mayat dalam perjalanan ke hospital itu untuk prosedur operasi standard COVID-19, pengecaman dan bedah siasat.

"Setakat ini 11 mayat sampai di sini, namun masih belum menjalani apa-apa proses. "Pihak hospital sedang menunggu arahan bedah siasat dari pihak polis bagi proses seterusnya," katanya di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan khidmat kaunseling kepada waris mangsa.

"Dengan adanya antemortem (pengumpulan data kematian), akan dapat mempercepat proses pengecaman dan penyerahan mayat kepada waris," katanya.

Dua waris mangsa tiba di unit forensik hospital berkenaan jam 4 petang tetapi pasangan warga emas itu enggan ditemu bual.

Dianggarkan 100 orang terbabit dan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Bentong Kali, awal pagi hari ini.

Dr Zaliha mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini mangsa tanah runtuh dekat tapak perkemahan Batang Kali. - Foto NSTP/GENES GULITAH
Dr Zaliha mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini mangsa tanah runtuh dekat tapak perkemahan Batang Kali. - Foto NSTP/GENES GULITAH

Berita Harian X