Jumaat, 16 Disember 2022 | 3:42pm

Lima gabungan politik meterai perjanjian, kukuhkan Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA: Empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang ini bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN).

Perjanjian persefahaman kerjasama itu ditandatangani kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Anwar berkata, semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Perpaduan di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, komitmen mereka ialah menyokong sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya, beliau berharap kerjasama itu akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.

"Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya untuk menyokong kerajaan yang stabil. Harapnya sehingga penggal berakhir," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Anwar akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu, hari ini.

Katanya, langkah itu mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas majlis menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Perpaduan di Putrajaya. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Setiausaha Agung gabungan parti. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Berita Harian X