KUALA LUMPUR: Selepas menyamar sebagai penumpang bagi meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini membuat perkara sama di KTM Komuter pula.
Dengan memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam, Loke menaiki tren dari stesen KL Sentral menuju ke Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantunya.
"Saya menerima banyak maklum balas daripada media sosial mengenai perkhidmatan komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam tempoh terdekat untuk membincangkan langkah menambahbaik dan menambah kekerapan perkhidmatan komuter," katanya menerusi entri di Facebook.
Loke berkata, beliau faham KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaik taraf landasan Fasa 1 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT1) masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.
Mengenai operasi TBS pula, beliau akan berjumpa dengan pihak pengurusan terminal itu bagi membincangkan kesiapsiagaan menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu serta musim perayaan.
Pada minggu lalu, meskipun belum memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Pengangkutan, Loke turun padang meninjau keadaan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang sering berdepan masalah.
Beliau yang menyamar sebagai penumpang merasai sendiri pengalaman menaiki LRT selama dua jam pada waktu puncak.
Bagaimanapun, beliau tidak ditemani mana-mana pegawai kementerian atau pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Loke mengakui situasi sesak dalam LRT ketika waktu puncak antara jam 5 hingga 7 malam tidak selesa kepada penumpang.