KLANG: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim komited untuk memastikan negara ini tidak dijadikan tempat transit atau pelupusan e-sisa daripada negara maju selaras Konvensyen Basel.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual seperti e-sisa perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, pindah kapal import dan eksport dapat dijalankan.
Berdasarkan statistik yang direkodkan dari Januari hingga November lalu, sebanyak 59 kontena ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31 buah kontena didapati membawa barangan mengandungi buangan terjadual selepas diperiksa oleh pegawai penguat kuasa JAS.
"JAS sudah mengeluarkan sebanyak 18 Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi mengarahkan kontena berkenaan dipulangkan semula ke negara asal kerana membawa barang dagangan berisi e-sisa tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada jabatan itu.
"Hingga kini 19 kontena dipulangkan semula ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Sepanyol, Australia, Belgium dan Jepun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi bersama timbalannya, Datuk Seri Huang Tiong Sii mengadakan lawatan pemeriksaan di Pelabuhan Klang dalam operasi membanteras dagangan sisa elektronik (e-sisa) yang dilakukan secara haram.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata berdasarkan maklumat terkini JKDM, sebanyak tiga buah kontena telah ditahan dan diperiksa pada 8 Disember 2022 di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kontena-kontena berkenaan mengandungi bahan buangan yang diimport dari Amerika Syarikat dan Sepanyol iaitu perkakasan komputer terpakai beserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW 110) atau e-sisa.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai skrap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Notis Arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport tersebut untuk memulangkan kontena berkenaan ke negara asal bagi mematuhi kehendak di bawah prosedur Konvensyen Basel," katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, JAS juga terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-sisa yang digunakan oleh industri kitar semula.