Khamis, 15 Disember 2022 | 2:27pm

40 tahun pengalaman hadapi banjir

KUALA BERANG: Merasai pengalaman 40 tahun berpindah setiap kali berhadapan dengan banjir, membuatkan seorang mangsa banjir di sini, bukan sahaja lali malah sudah bersiap sedia melakukan persiapan sekiranya bencana itu menjadi lebih buruk.

Mohd Suhaimi Abdul Manan, 40, berkata setiap tahun dia sekeluarga pasti perlu berpindah, oleh itu pelbagai persiapan sudah dilakukan termasuk menyimpan barangan di dalam rumah di tempat yang lebih tinggi.

"Begitu juga dengan kenderaan, saya sudah alihkan ke tempat lebih selamat selain bagi mengelak kekalutan apabila berlakunya banjir secara mengejut," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Kemat, di sini.

Katanya, kedudukan kampung yang terletak berhampiran alur sungai memudahkan limpahan air hingga menenggelamkan kawasan kediaman dan kejadian seumpama itu sudah menjadi lumrah buat penduduk kampung ini.

"Saya sudah 40 tahun merasai pengalaman berpindah apabila berlakunya banjir dan bagi yang hidup lebih lama, maka lebihlah pengalaman mereka berpindah setiap kali banjir berlaku.

"Sejak kecil juga saya sudah didedahkan dengan PPS dan cakna perlunya berpindah awal apabila berlakunya banjir dan ilmu itu kini ditetapkan kepada anak," katanya.

Mohd Suhaimi berkata, berdasarkan pengalaman biasanya penduduk akan berpandukan paras air sungai sama ada akan surut selepas beberapa jam hujan melanda ataupun paras akan terus meningkat hingga mengakibatkan limpahan air.

Namun, dia akui setiap kali tibanya musim banjir berasa sedikit gusar kerana memikirkan keselamatan ahli keluarga, berikutan dia bekerja di bandar Kuala Terengganu, yang jaraknya lebih 100 kilometer pergi balik dari rumahnya.

Katanya, banjir akibat limpahan air sungai ini biasanya tidak lama namun kesannya amat dirasai kerana mampu merosakkan pelbagai peralatan di dalam rumah jika persiapan awal tidak dilakukan.

Jirannya, Siti Aisyah Daud, 38, berkata setiap kali tibanya musim tengkujuh dia sekeluarga perlu berwaspada manakala tidur pula tidak lena kena bimbang rumah ditenggelami banjir.

"Ditambah pula saya mempunyai anak kecil, oleh itu kewaspadaan amat perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Pengalaman saban tahun berdepan kejadian banjir mendorong saya sekeluarga lebih berhati-hati dan akan ke PPS lebih awal bersama anak kerana dalam banjir kali ini rumah saya di tenggelami banjir sedalam satu meter," katanya.

Katanya, persiapan awal sudah dilakukan antaranya meletakkan pakaian di dalam kereta yang dialih ke tempat selamat bagi memudahkan pergerakannya untuk ke PPS.

Katanya, kaedah seperti itu dapat mengelakkan berlakunya kejadian panik sekiranya air melimpah ke perkarangan rumah dengan mendadak.

Aisyah berkata, pengalaman setiap tahun berdepan banjir banyak membantunya membuat persiapan lebih rapi kerana keadaan air deras dan dalam boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.

Mohd Suhaimi Abdul Manan ketika ditemui di PPS Kampung Kemat. - Foto NSTP/Nazdy Harun
Mohd Suhaimi Abdul Manan ketika ditemui di PPS Kampung Kemat. - Foto NSTP/Nazdy Harun
Berita Harian X