Khamis, 15 Disember 2022 | 1:10pm
(Gambar fail) Tan Sri Annuar Musa - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Tan Sri Annuar Musa - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

'Kalau ada neraca, cupak sukat cinta dan kasih sayang pada UMNO...'

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan parti itu melucutkan keahliannya pada minggu lalu.

Annuar mengesahkan beliau sudah menerima surat pemecatannya itu daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Isnin lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, surat terbabit hanya memaklumkan seksyen dalam Perlembagaan UMNO berkaitan pemecatan berkenaan tanpa menyatakan secara khusus sebab keputusan itu diambil terhadapnya.

"Jika hendak merayu, kita kena tahu apa kesalahan itu, barulah kita menilai sama ada kita salah atau tidak. Kalau kita tidak salah, kita merayulah atas perkara yang kita tidak salah.

"Bagaimanapun hingga hari ini, saya tidak tahu (apa kesalahan). Saya tiada pertuduhan dan tidak pernah dipanggil, ditanya mahupun diminta memberi penjelasan lisan atau bertulis. Malah, dipanggil secara sahabat pun tiada, sedangkan dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi) (UMNO) itu semua kawan saya.

"Tiada sesiapa yang bertanya saya apa-apa. Tahu tahu (diberi) surat sekeping, pecat (saya). Jadi, saya nak merayu apa?" katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan UMNO mengesahkan Annuar ialah antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Khamis lalu.

Ahmad dipetik berkata, MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut Fasal 10.6 perlembagaan yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya. Ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti serta perkara mengenai tataetika ahli.

Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau sudah menjawab surat pemecatan itu, dua hari lalu, yang ditujukan terus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus berharap akan mendapat jawapan balas.

"Saya menyebut, kita masing-masing ada kecintaan kepada parti. Jika ada neraca yang boleh menyukat kecintaan ini, kita boleh melihat cinta siapa yang lebih berat timbangannya.

"Jika ada cupak yang boleh menyukat kasih sayang saya kepada UMNO, berbanding kasih Datuk Seri (Ahmad Zahid), pasti kita akan tahu kasih dan setia siapa yang lebih banyak kepada UMNO.

"Malangnya, Datuk Seri lah neraca dan cupaknya. Jadi, Datuk Seri (didakwa) sudah menafikan kasih dan kesetiaan orang lain kepada UMNO," katanya.

Selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar berkata, beliau kekal setia, malah membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Serai.

"Ramai orang lain sangat agresif mengkritik Presiden (UMNO) dan ada yang begitu berani menandatangani SD (Akuan Berkanun) kepada individu tertentu, yang bercanggah dengan Presiden tetapi tidak dipecat.

"Saya berhati-hati, tidak mengkritik atau menegur Presiden, tiba-tiba dipecat. Pada saya, itu perancangan Allah SWT," katanya.

Mengenai perancangan masa depannya, Annuar memaklumkan buat masa ini, beliau tidak akan terbabit sebarang aktiviti politik, namun tidak pasti sama ada kembali menyertai politik pada masa depan.

"Saya tidak tahu tetapi saya hanya mahu melakukan yang baik. Saya bukan orang yang hidup mati hendak jadi calon (pilihan raya), sebab saya sudah lapan kali menjadi calon. Saya menjadi Ketua Bahagian selama 35 tahun, paling lama dalam UMNO," katanya.

Berita Harian X