Rabu, 14 Disember 2022 | 9:50pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - Foto NSTP
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - Foto NSTP

DidikTV terbit lebih 4,000 episod

KUALA LUMPUR: DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menerbitkan lebih 4,000 episod membabitkan pelbagai kandungan pengajaran dan pembelajaran dari peringkat prasekolah hingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak dilancarkan pada 17 Februari tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata selain pelbagai pengisian berasaskan kurikulum (curriculum based content), DidikTV KPM juga menyediakan kandungan berasaskan kokurikulum bagi memenuhi keperluan murid.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan murid yang seimbang dan holistik dari pelbagai aspek.

"KPM sedia maklum saluran ini dilancarkan dengan matlamat untuk membantu murid di seluruh negara yang terkesan akibat penularan COVID-19 sejak awal tahun 2020.

"Pelbagai pengisian dihasilkan menerusi saluran ini memberi impak besar kepada anak kita kerana meskipun tidak ke sekolah ketika itu, mereka masih dapat belajar menerusi televisyen, apatah lagi guru yang menjadi penyampai terdiri daripada guru hebat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM 2022, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 guru dan pegawai KPM yang terbabit dalam penerbitan saluran televisyen pendidikan, DidikTV KPM diraikan dalam majlis berkenaan.

Program anjuran NTV7, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) yang mengendalikan DidikTV KPM itu diadakan bagi menghargai jasa guru penyampai, jurubahasa isyarat dan pegawai KPM yang berkorban masa serta tenaga dalam memastikan program diterbitkan bukan saja bermutu, tetapi menepati kurikulum sekolah.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi sekolah), Dr Norisah Suhaili; Ketua Nazir Sekolah menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif DidikTV KPM-NTV7, Seelan Paul.

Fadhlina berkata, kandungan DidikTV KPM hari ini didapati turut menjadi sumber rujukan guru di seluruh negara yang mendapat ilmu baharu menerusi pelbagai inovasi serta perkongsian teknik dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan Pembelajaran Abad ke-21.

Malah, katanya, murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) juga tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada kandungan DidikTV KPM kerana saluran itu turut menerbitkan kandungan khusus untuk Pendidikan Khas, selain menyediakan jurubahasa isyarat untuk program pendidikan arus perdana.

"Ini semua tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa pengorbanan lebih 1,000 guru penyampai, jurubahasa isyarat dan KPM yang terbabit dalam penerbitan DidikTV KPM.

"Tanpa kerjasama semua pihak pasti agak sukar untuk saluran ini dilaksanakan dengan jayanya. Bagi pihak KPM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan semua pihak yang terbabit.

"Sekalung penghargaan juga kami ucapkan kepada MPB, khususnya pihak produksi NTV7 yang merealisasikan saluran TV Pendidikan KPM ini yang tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah dalam dunia pendidikan negara," katanya.

Berita Harian X