Rabu, 14 Disember 2022 | 8:17pm
Anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa keluar dari Sungai Korok. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa keluar dari Sungai Korok. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Budak lemas dalam kereta: Proton Saga dipercayai hilang kawalan, terbabas ke sungai - Polis

JITRA: Kereta dinaiki tiga sekeluarga yang terjunam ke Sungai Korok sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki di sini, petang tadi, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam sungai itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka dalam perjalanan dari arah Tanjung Kapur menghala ke Pekan Jitra.

"Setiba di tempat kejadian yang juga jalan lurus, kereta Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai.

"Pemandu dan penumpang hadapan kereta itu berjaya keluar dari kenderaan sebelum kereta itu tenggelam sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, nahas itu menyebabkan Muhammad Khairil Muhaimin Suhaimi, 12, maut selepas terperangkap di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit yang juga bapa mangsa, Suhaimi Hassan, 37, yang bekerja sebagai juruteknik, luka di lengan dan muka sebelah kanan, manakala isterinya, Nurul Aqmar Zainol, 35, luka di pipi kanan serta sakit di bahagian belakang.

Katanya, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dari kereta berkenaan kira-kira jam 4.30 petang tadi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Jitra.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X