Rabu, 14 Disember 2022 | 7:50pm

Tidak sampai 12 jam pulih, Terengganu kembali banjir

KUALA TERENGGANU: Tidak sampai 12 jam banjir di Terengganu dilaporkan pulih, negeri ini kembali dilanda bencana berkenaan dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hulu Terengganu, petang tadi.

PPS di Balai Raya Kampung Kemat dan Balai Raya Kampung Tapah diaktifkan kira-kira jam 6 petang tadi bagi menempatkan 40 mangsa daripada tujuh keluarga selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 14 mangsa banjir (empat keluarga) berlindung di PPS Balai Raya Kampung Kemat, manakala 26 lagi (tiga keluarga) dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tapah.

Terdahulu, banjir yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu dilaporkan pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir ditutup kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum itu, bencana berkenaan melanda daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut menyebabkan lebih 600 mangsa terjejas.

Mangsa banjir berlindung di Balai Raya Kampung Tapah, Hulu Terengganu. - NSTP/NAZDY HARUN
Mangsa banjir berlindung di Balai Raya Kampung Tapah, Hulu Terengganu. - NSTP/NAZDY HARUN
Berita Harian X